AHMAD Kariman menternak lembu di ladang miliknya sendiri di Kampung Banjar, Teluk Intan.
AHMAD Kariman menternak lembu di ladang miliknya sendiri di Kampung Banjar, Teluk Intan.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Aidiladha kali ini cukup bermakna buat pemuda orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Ahmad Kariman Ramli kerana hampir kesemua lembu ternakannya sudah ditempah.

Ahmad Kariman, 34, berkata, sebanyak 32 daripada 38 ekor lembu yang diternakkannya pada musim ini sudah terjual dan siap sedia dihantar kepada pembeli bagi tujuan ibadah korban yang akan bermula esok.

Anak jati kelahiran Kampung Banjar, Teluk Intan itu berkata, inilah keuntungan paling lumayan yang berjaya dia perolehi sejak mula menternak secara kecil-kecilan enam tahun lalu.

"Harga jualan yang ditetapkan bagi setiap lembu ini adalah sekitar RM4,800 hingga RM7,800 seekor bergantung kepada saiz dan jenis baka.

"Waktu permulaan dahulu, saya gunakan modal sendiri sekitar RM6,000 dengan membeli enam ekor anak lembu dan menternak di atas tanah seluas enam ekar milik saya ini.

"Ketika itu agak sukar untuk kami mendapatkan pembeli kerana orang belum lagi mengenali saya, di samping banyak pesaing sedia ada," katanya yang menggunakan bahasa isyarat dan diterjemah adiknya, Muhammad Najmi Ramli, 30.

Bercerita lanjut, Ahmad Kariman berkata, dia dan seorang lagi pekerjanya terpaksa sentiasa berada di ladang ternakan itu bagi memantau dan mengelakkan berlakunya kes kecurian lembu yang pastinya mengakibatkan kerugian.

"Semakin dekat dengan hari raya, kami perlu berjaga sehingga malam secara bergilir-gilir. Risau jika berlaku perkara yang tak diingini seperti ternakan dicuri orang.

"Kami akan menghantar lembu yang ditempah sehari sebelum Aidiladha ke lokasi dipersetujui pelanggan agar lembu ini dapat dipastikan cukup makan dan terjaga dengan baik," katanya.

Menurut anak kelapan dari 10 beradik itu, dia tidak pernah mengikuti bidang penternakan secara formal, sebaliknya diajar oleh ayahnya yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

"Ayah saya, Ramli Jailani, 73, pernah menternak lembu, jadi ayahlah yang mengajar saya melalui pengalamannya.

"Waktu paling mencabar sepanjang enam tahun ini adalah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dulu kerana semua pembeli yang sudah membuat tempahan ketika itu membatalkan tempahan mereka pada saat akhir.

"Bagi mendapatkan semula modal, lembu-lembu ketika itu terpaksa dijual pada harga yang lebih murah kepada peniaga daging. Orang kata ketika itu, kami penternak dapat untung sedikit, mereka peniaga pun untung sedikit," katanya.

Mengenai cabaran dari segi penyakit pula, katanya ia tidak begitu membimbangkan buat masa ini kerana pemantauan rapi turut dibantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Jika ada masalah melibatkan kesihatan ternakan, pihak JPV akan datang untuk buat pemeriksaan dan jika perlu mereka akan suntikan lembu supaya dapat mencegah penyakit," katanya.

Berkongsi kisah perniagaannya, graduan Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar itu memutuskan untuk mengembangkan lagi perniagaannya melalui Pinjaman Tanpa Faedah dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) berjumlah RM24,000 untuk membina kandang yang lebih besar dan menambah jumlah ternakan.

Jelasnya, bantuan pinjaman yang disediakan Perak SADC melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030 itu benar-benar menjadi batu loncatan bagi membolehkan dia bangkit semula dalam dunia perniagaannya.

"Hasil pinjaman itu, saya bina kandang baharu sepanjang 70 kaki dan bakinya saya gunakan untuk membeli enam ekor lembu lagi.

"Hasil keuntungan beberapa tahun ini, kini saya boleh menternak sejumlah 38 ekor lembu membabitkan dua baka Kedah-Kelantan (KK) Cross dan Brahman Cross," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 5:46 PM