AMIR Fizri bersama lembu baka limosin yang dibeli dengan harga RM17,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AMIR Fizri bersama lembu baka limosin yang dibeli dengan harga RM17,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Tak kisah melabur besar untuk membeli lembu baka sekarang kerana saya yakin harga lembu itu akan semakin meningkat," kata Amir Fizri Mohamad.

Amir Fizri, 34, menggunakan wang simpanannya untuk membeli lembu baka limosin dengan harga RM17,000 di Setiu, semalam.

Katanya, dia menternak lembu sejak lima tahun lalu dan sebelum ini pernah membeli lembu baka charolais dengan harga RM10,000.

"Saya memang meminati bidang penternakan lembu baka itu kerana ia memberi pulangan yang sangat lumayan.

"Tak rugi jika beli lembu baka sekarang kerana permintaan terhadap ternakan itu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Harga lembu baka tidak menentu dan ia bergantung kepada penternak dan keadaan lembu itu. Lagi besar saiz lembu itu, harganya akan semakin tinggi," katanya ketika ditemui di kandang ternakan lembu bakanya di Kampung Kubang Parit, di sini, hari ini.

Tambahnya, dia mempunyai empat ekor lembu iaitu dua lembu baka dan dua ekor lembu kampung.

"Terbaru saya menjual dua lembu kampung dengan harga RM9,000 untuk dijadikan ternakan ibadah korban.

"Seronok menternak lembu kerana permintaan sentiasa ada, cuma bergantung kepada penternak mahu menjualnya atau tidak," katanya.

Menurutnya, pelbagai cabaran dan risiko menternak lembu baka yang perlu dihadapi tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kegiatan itu.

"Bukan sahaja ancaman penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan ternakan susut nilai dan mati malah harga makanan juga semakin meningkat seterusnya membebankan penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 3:32 PM