Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Bermula sekadar hobi, seorang warga emas dari Kampung Chatel, Lata Rek, di sini, tidak menyangka menternak rusa sejak tiga tahun lalu memberi pulangan lumayan berikutan permintaan tinggi haiwan itu.

Mat Roni Senek, 68, berkata, pada peringkat permulaan dia hanya menternak enam ekor rusa yang dibeli dengan harga RM18,000 untuk dijadikan induk.

Katanya, pada tahun 2019 dia memulakan penternakan itu dengan membeli baka rusa jenis Sambar yang sudah matang pada harga antara RM1,500 hingga RM3,000 seekor daripada pengusaha di Tanah Merah.

"Saya tidak menjual daging haiwan ini meskipun ia mendapat permintaan tinggi daripada penggemar makanan eksotik memandangkan daging rusa tidak boleh dijual terus seperti daging lembu yang mana orang ramai membelinya secara harian.

"Namun bagi mana-mana penggemar daging rusa, saya menjual haiwan hidup ini dan harga bagi seekor rusa bergantung kepada fizikal dan keadaan haiwan ini.

"Alhamdulillah, setakat ini ia memang mendapat sambutan daripada peminat mahupun penggemar daging rusa di sekitar Kelantan.

"Rusa cepat membiak dan setakat ini saya sudah menjual tujuh ekor rusa yang diternak dengan harga antara RM2,800 hingga RM3,800 seekor," katanya ketika ditemui di Kampung Chatel, Lata Rek, baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak berusia antara 25 hingga 46 tahun ini berkata, keputusan menternak rusa sebagai hobi masa lapang adalah tepat apabila ternakan yang diusahakan sejak 2019 kini memberi pulangan hasil lumayan.

"Saya tidak mahu menjadikan usia emas sebagai alasan untuk berehat dan duduk diam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti dan pada masa sama ia juga mampu menghilangkan tekanan selepas menghidap kencing manis," katanya.

Mat Roni berkata, setiap pagi rusa itu diberikan rumput segar selain dedak bagi memastikan tumbesarannya.

"Menternak rusa tidak memerlukan kos yang tinggi dan kaedah penjagaannya juga jauh lebih jimat berbanding haiwan lain seperti kambing dan lembu.

"Setiap bulan saya hanya memperuntukkan RM400 untuk membeli dedak rusa dan akan memberi haiwan ini makan tiga kali sehari," katanya.

Katanya, penternakan rusa tidak terdedah kepada banyak penyakit seperti kambing dan lembu dan keadaan ini memudahkan penjagaannya malah saya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang sentiasa memantau keadaan haiwan ini.

"Sepanjang pengalaman saya, haiwan ini sukar mendapat penyakit dan boleh dikatakan rusa ini dalam kategori haiwan ternakan yang lasak dan mudah dijaga.

"Pada ketika ini, saya mempunyai 17 ekor rusa, namun jumlah itu sentiasa berubah mengikut permintaan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:06 PM
MAT Roni memberi rusanya makan di dalam kandang yang dibina di belakang rumahnya di Kampung Chatel, Lata Rek..FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MAT Roni memberi rusanya makan di dalam kandang yang dibina di belakang rumahnya di Kampung Chatel, Lata Rek..FOTO Hazira Ahmad Zaidi