Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua kenderaan rasmi EXCO Kedah diserahkan semula kepada kerajaan negeri selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 secara rasminya bubar hari ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Majlis penyerahan diketuai Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Norizan Khazali.

Muhammad Sanusi berkata, penyerahan kenderaan rasmi EXCO kerajaan negeri itu bagi mengelak dituduh menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk program politik parti.

Katanya, selepas ini semua yang terbabit termasuk dirinya akan menggunakan kenderaan peribadi meskipun mereka masih perlu menghadiri mesyuarat EXCO serta menjalankan tugas-tugas sedia ada hingga berlangsung PRN pada tarikh ditetapkan.

"Selepas DUN dibubarkan, kebanyakan yang berlangsung selepas ini adalah kempen bagi berdepan PRN. Kami akan guna kenderaan peribadi walaupun masih perlu menjalankan tanggungjawab seperti menghadiri mesyuarat atau program ditetapkan.

"Itu lebih baik dan selamat kerana sekarang ini banyak orang suka bercakap benda tak betul serta luar konteks. Langkah ini saya yakin tak akan dapat pujian pun kerana tindakan ini sesuatu yang betul untuk dilakukan.

"Benda betul jarang dikatakan di zaman fitnah tetapi tak mengapalah dan kita turut mengajak rakan-rakan dari parti lain untuk tak gunakan aset kerajaan untuk berkempen sepanjang PRN," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata beliau sudah meneliti garis panduan dibuat Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood berkenaan kerajaan interim yang masih menguruskan pentadbiran negeri selepas DUN dibubarkan.

"Mesyuarat EXCO masih berjalan untuk memutuskan beberapa perkara malah rutin kerajaan masih boleh dilaksanakan. Cuma dasar baharu membabitkan kewangan tidak boleh dibuat," katanya.

Terdahulu, watikah pembubaran DUN Kedah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Watikah itu diserahkan oleh Pejabat DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah diwakili Setiausaha DUN Kedah Mohamad Azlee Ahmad kepada Pengarah SPR Kedah Aldrina@Mimi O P Andu.

DUN Kedah ke-14 secara rasminya bubar hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lalu.

Sanusi Md Nor mengadakan sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan oleh Ahli Majlis Mesyuarat  Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Sanusi Md Nor mengadakan sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:33 PM