M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Semua urusan pentadbiran negeri Kedah akan diteruskan kerajaan interim di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali, sebaik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini memperkenan pembubaran DUN Kedah dibuat pada 28 Jun ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau diterima mengadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman bagi memohon perkenan baginda membubarkan DUN, 10.45 pagi tadi.

"Hari ini, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah diterima mengadap Sultan Sallehuddin untuk memohon perkenan bagi pembubaran DUN Kedah yang Ke-14 dan Tuanku memberi perkenan untuk DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun 2023.

"Saya ingin memaklumkan bahawa bermula pada tarikh berkenaan, pentadbiran Kerajaan Negeri akan dijalankan kerajaan interim yang mana segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga Kerajaan Negeri baharu dibentuk selepas PRN," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, Muhammad Sanusi turut mengambil kesempatan merakamkan ucapa penghargaan kepada barisan pentadbiran negeri atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

Katanya, sepanjang pentadbirannya, Kedah diuji dengan dua bencana alam besar iaitu kejadian kepala air di Yan dan Kuala Muda selain banjir puing di Kampung Iboi, Baling, namun ia berjaya diuruskan dengan baik.

"Kelancaran kita menghadapi ujian ini tidak akan dicapai jika bukan kerana keprihatinan dan sifat mengambil berat Tuanku Sultan, Sultanah dan Raja Muda yang sering mengambil tahu, memberi nasihat untuk memastikan nasib dan kehidupan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pembangkang yang melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 1:13 PM
MUHAMMAD Sanusi  menunjukkan surat pekenan pembubaran DUN selepas mengadap Sultan Kedah. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi menunjukkan surat pekenan pembubaran DUN selepas mengadap Sultan Kedah. FOTO Syaharim Abidin