Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ditetapkan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Ogos depan dianggap bersesuaian selain turut memberi peluang kepada semua pihak bertanding membuat persediaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tarikh pengundian itu dilihat memberi tempoh mencukupi kepada parti melaksanakan kempen selepas penamaan calon pada 29 Julai nanti.

"Tarikh 12 Ogos itu juga memberikan peluang kepada jemaah haji Malaysia yang baru pulang dari menunaikan ibadah haji mengundi pada PRN nanti.

"Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali akan menyerahkan writ pilihan raya kepada semua Pegawai Pilihan Raya di pusat pengundian di semua daerah mengundi esok dijangkakan pada 2.30 petang," katanya pada sidang selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat exco di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat exco di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) turut menegaskan politik adalah sebahagian daripada urusan agama yang di dalamnya terdapat dosa dan pahala.

Justeru beliau berharap, kempen PRN akan dijalankan secara sihat, memaparkan fakta benar dan kritikan yang benar.

"Kalau kita mulakan kempen fitnah atau propaganda adu domba, suasana itu tidak mendatangkan suasana politik sihat.

"Cakap tak betul buat fitnah kat orang berdosa, kalau tuhan tak ampun masuk neraka. Mereka kata tak boleh cakap pasal isu 3R (agama, bangsa dan raja), tak kan tak boleh?

"Jadi sekular memisahkan agama dengan politik, zaman revolusi di barat mensekularkan semua kehidupan dalam semua urusan politik rumah tangga, ekonomi," katanya.

Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah dengan sejumlah 104,284 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); PH menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memperoleh dua kerusi (Umno-2) dan Parti Pejuang Tanah Air (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun daripada PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Adun Belantek Datuk Mohd Isa Shafie pula meninggal dunia 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 4:57 PM