Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengajak gabungan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk bertanding secara 'anak jantan'.

"Saya harap proses demokrasi akan berjalan sepanjang pembubaran hingga pengundian dan pembentukan kerajaan, jangan guna harta, dana, agensi atau jabatan kerajaan untuk berkempen.

"Saya harap semua parti akan bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain, tetapi buat lain," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, beliau juga sudah mengarahkan semua Exco menyerahkan kenderaan rasmi milik kerajaan negeri pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dijangka pada 28 Jun.

"Kerana kita nak sepanjang berkempen, mereka tak guna harta kerajaan. Saya harap parti lain juga guna kaedah sama, kalau ada lori yang dibeli dengan harta kerajaan, maka simpan dahulu," katanya.

MUHAMMAD Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Syaharim Abidin.
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Syaharim Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 11:24 PM