Norzamira Che Noh

Shah Alam: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim, hari ini menyerahkan watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Watikah berkenaan diserahkan Suee Lim kepada Pengarah SPR Selangor, Shafie Taib di Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar bersama penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak dekat sini, hari ini.

Turut menyaksikan penyerahan itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.

DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan PRN.

AMIRUDIN (kiri) menyaksikan penyerahan watikah pembubaran DUN Selangor oleh Suee Lim kepada Shafie pada Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Isnin lalu, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini bermakna DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 25 Jun ini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 12:09 PM