GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM400 kepada kira-kira 5,600 kakitangan awam di Kedah bagi membantu meringankan beban mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan itu selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam pada 27 Julai lalu.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat mengikuti langkah kerajaan Persekutuan ketika itu kerana ia dibuat terlalu hampir dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana bimbang ia dikatakan sebagai sogokan pilihan raya.

"Kerajaan negeri putuskan iaitu pemberian bantuan khas kakitangan awam negeri kerana Perdana Menteri mengumumkan pemberian khas kakitangan awam Persekutuan sebanyak RM300 sebelum ini.

"Kita tak buat waktu itu kerana kita takut ia jadi sogokan pilihan raya, kita buat keputusan selepas PRN dan bagi kakitangan awam kerajaan negeri RM400 kepada 5,600 kakitangan membabitkan peruntukan RM2.08 juta yang akan dibayar pada 14 September," katanya.

MUHAMMAD Sanusi (depan, tiga kiri) ketika sidang media selepas mesyuarat Exco. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi (depan, tiga kiri) ketika sidang media selepas mesyuarat Exco. FOTO Syaharim Abidin

Pada 27 Julai lalu, Anwar mengumumkan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala RM200 kepada pesara kerajaan.

Bantuan itu memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara yang menjadi sebagai permulaan sementara menunggu proses pelarasan gaji dan elaun penjawat awam selesai diperincikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 4:29 PM