Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini dari Januari hingga Mei lalu tidak mempunyai pekerjaan terutamanya warga Bangladesh.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, langkah segera sudah dilakukan bagi mengesan ejen yang membawa masuk pekerja berkenaan selain turut menyenarai hitam majikan yang terbabit.

"Usaha kami ketika ini adalah untuk membantu mereka untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu. Ini tumpuan kita dahulu bagi memudahcara mereka yang sudah berada di sini.

"Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian, ini paling ramai dengan kebanyakannya dari Bangladesh," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini, tadi.

Beliau berkata, biarpun kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.

"Di satu sisi, lima sektor ekonomi kritikal mengharapkan pekerja asing. Oleh itu kerajaan cuba mempermudahkan dari segi polisi.

"Di sisi lain, ada juga elemen tak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang menguruskan kemasukan warga asing ini bertentangan dengan dasar kerajaan," katanya.

Tambah beliau, perkara itu dapat dikesan dengan cepat oleh Kementerian Sumber Manusia seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat semalam.

"Perkara sebegini memberi kesan kepada kedudukan kita dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.

"Malaysia berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaharu itu. Namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan tahap ke tier 2, jadi kita tidak mahu ini menjejaskan usaha terutama dalam membanteras elemen buruh paksa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 4:22 PM