M Saravanan ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM hari ini. FOTO BERNAMA
M Saravanan ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM hari ini. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pekerja asing yang berdepan isu dipotong gaji atau diminta membayar kos tertentu daripada majikan boleh melaporkan perkara itu kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, kuota pengambilan pekerja asing majikan juga akan dibatalkan jika didapati memotong gaji pekerja mereka itu untuk dengan alasan menampung kos membawa mereka masuk ke Malaysia.

Menurutnya, peraturan itu sudah diguna pakai sejak sekian lama yang menetapkan majikan yang mahu membawa masuk pekerja asing ke Malaysia perlu menanggung semua kos berkaitan.

"Bagaimanapun, kementerian tidak boleh campur tangan sekiranya bayaran tertentu dikenakan kepada pekerja asing dibuat oleh pihak ejen negara sumber.

"Memang jika ikut peraturan, mana-mana majikan yang membawa masuk pekerja asing ke Malaysia perlu menanggung semua kos seperti penginapan, penerbangan dan sebagainya.

"Majikan tidak boleh ambil duit daripada pekerja. Jika ada aduan bahawa majikan tolak gaji dan sebagainya, kita akan tamatkan kuota pekerja asing untuk syarikat itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM di sini, hari ini.

Sementara itu, Saravanan menafikan laporan media yang mendakwa ketibaannya ke Dhaka, Bangladesh baru-baru ini disambut dengan protes daripada wakil agensi pekerjaan negara itu.

Sebaliknya, Saravanan memaklumkan ketibaannya disambut dengan baik dan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Bangladesh berjalan lancar dan membuahkan hasil yang positif.

"Saya disambut baik oleh Dhaka. Malah, dalam tempoh 24 jam, saya bertemu dengan empat menteri termasuk Perdana Menteri. Ini sambutan terbaik yang boleh diterima mana-mana menteri," katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan ketibaan Saravanan disambut dengan protes wakil agensi pekerjaan Bangladesh yang mendesak supaya jumlah ejen pengambilan pekerja dan subejen Bangladesh ditambah.

Mengulas perkara itu, Saravanan menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian hanya membenarkan 25 ejen pengambilan pekerja Bangladesh dan 250 subejen terbabit dalam pengambilan pekerja baharu ke Malaysia.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak insiden pada 2007 dan 2008 berulang, di mana Malaysia membenarkan semua ejen di Bangladesh menghantar pekerja dari negara itu ke Malaysia hingga mencetuskan situasi kucar-kacir.

"Ketika itu, lebih 100,000 rakyat Bangladesh dihantar dan terpaksa tidur di jalan raya di sini kerana mereka tiada tempat bekerja.

"Pada 2016, kita laksanakan pendekatan baharu dengan melantik hanya 10 ejen untuk menghantar pekerja asing Bangladesh ke Malaysia, dan kali ini kita tambah kepada 25 ejen selepas melihat kaedah ini berkesan.

"Bangladesh tetapkan syarat bahawa kita perlu pilih ejen daripada senarai yang diberikan. Mereka beri senarai 1,520 ejen dan jawatankuasa di peringkat kementerian memperhalusinya sebelum memilih 25 ejen," katanya.

Ditanya mengenai penangguhan ketibaan kumpulan pertama tenaga kerja Indonesia pada 31 Mei lalu, Saravanan memaklumkan perkara itu terpaksa ditunda ke tarikh lain.

"Sepatutnya kumpulan pertama itu tiba bersama Menteri Tenaga Kerja Indonesia, namun secara tiba-tiba beliau ada majlis lain yang lebih penting, maka ia ditangguhkan ke tarikh lain," katanya.

Berhubung laporan yanh mendakwa agensi Indonesia menghalang ketibaan mereka kerana isu dokumentasi dan visa, Saravanan menjelas terdapat salah faham antara kedua-dua pihak.

"Perkara ini sebenarnya memang dalam proses kita. Apabila kita keluarkan visa untuk datang ke Malaysia, ia tidak bererti mereka boleh terus bekerja.

"Mereka perlu lalui Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan jika melepasi saringan, barulah cop pekerja akan diberikan.

"Namun, ada satu agensi Indonesia melihat perkara itu mengelirukan dan minta Duta Indonesia ke Malaysia membetulkan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 4:30 PM