LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Mufti Johor menegaskan tidak wajar mana-mana pihak untuk mempertikai atau menolak cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata pembentangan RUU itu terutama pada Perkara 4 bertujuan untuk memperkukuh lagi kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan akidah al-Asyairah dan Al-Maturidiyah di Malaysia umumnya dan Wilayah Persekutuan khususnya.

Katanya, sokongan itu berdasarkan kepada pelaksanaan pindaan Seksyen 2, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 berhubung dengan tafsiran Hukum Syarak sejak 2015.

"Bermakna dari segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

"Dari segi syariah mengikut Mazhab Shafie atau dalam keadaan tertentu

mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali atau melalui Ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, atas syor Majlis, diperkenan oleh Raja-Raja

dan diwartakan.

"Bukan itu saja, bahkan penekanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah di Johor sentiasa disebut dalam khutbah Jumaat, setiap minggu.

"Pada masa yang sama, syarat utama kelulusan dan pemberian tauliah memberi syarahan agama di negeri ini hendaklah berpegang kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran

al-Asyairah dan al-Maturidiyah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr Muna Hamzan, berkata semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul itu dibawa ke Dewan Rakyat nanti.

Beliau dipetik berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan Parlimen, seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.

Muna berkata, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.

Pada masa sama, katanya, ia dilihat selari dengan enakmen undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri Malaysia yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Minggu lalu, Jabatan Mufti Perak (JMNPk) dalam satu kenyataan, turut senada bahawa RUU berkenaan wajib disokong bagi menjamin kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Hari ini pula, PAS pula dilaporkan berpandangan RUU itu perlu dikaji secara mendalam.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata langkah itu penting berikutan terdapat berpuluh mazhab dalam Islam.

Dalam pada itu, Yahya berkata, fahaman ekstrem dapat dibendung dan ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dapat dibanteras berdasarkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

"Justeru, sekali lagi ditegaskan bahawa Jabatan Mufti Johor menyokong penuh cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

"Pada hemah saya tidak wajar mana-mana pihak untuk mempertikai atau menolak cadangan pindaan RUU itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:01 PM