Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Marang: Negara masih kekurangan individu yang mempunyai disiplin yang ketat, semangat dan nilai yang baik.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak termasuk ahli politik dan penguatkuasa perlu diterapkan dengan latihan, persiapan dan nilai yang betul supaya menjadi individu yang mempunyai nilai dan jati diri yang tinggi.

Beliau berkata, negara juga tidak boleh berubah sekiranya pimpinan diselaputi dengan kezaliman, rasuah dan penyelewengan.

"Nak jadi polis yang baik, nak jadi orang politik yang baik mesti dengan latihan, persiapan dan disiplin dan nilai yang betul.

"Bukan (daripada segi) percakapannya, kita tak kurang orang yang pandai bercakap daripada kedai kopi sampailah di Parlimen (tapi) yang kurang orang yang mempunyai disiplin yang ketat, semangat dan nilai yang baik, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu di Dewan Sri Kapas Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, semua pihak juga perlu melakukan perubahan jiwa dan nilai dalam usaha memartabatkan negara.

Beliau menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahguna kuasa dan rasuah.

"Kalau kita nak angkat martabat umat dan bangsa dan negara kita, tak boleh (guna) kaedah lama.

"Saya tahu orang lain marah saya bercakap pasal tatakelola dan rasuah (tapi) saya tak peduli.

"Tapi percayalah tak boleh dimungkiri kenyataan kalau kita tak latih pasukan kita, tak angkat semangat anak-anak muda kita untuk yakin bahawa untuk angkat martabat negara kita mesti ada perubahan jiwa," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kos membaik pulih 20 unit kuarters polis di IPD Marang yang rosak.

Katanya, peruntukan itu akan diluluskan minggu depan dan berharap dapat memberi keselesaan kepada anggota yang bakal menghuni kuarters berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 5:37 PM