SAIFUDDIN Nasution. FOTO Bernama.
SAIFUDDIN Nasution. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan akan meningkatkan usaha dalam mendakwa dan menyabitkan kes terhadap penjawat awam yang didapati bersubahat dalam aktiviti pemerdagangan orang atau buruh paksa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap pada sidang media berkaitan Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023 di sini hari ini, Saifuddin berkata, perkara itu menjadi keutamaan kerajaan apabila ia merupakan antara 15 syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan JNAS.

"Kalau bandingkan (penjawat awam) dengan pembabitan watak lain (dalam aktiviti pemerdagangan orang) seperti majikan dan ejen, ia tidaklah membimbangkan.

"Tetapi, sudah tentu perkara ini dalam radar kita sebab babitkan penjawat awam. Sebab badan yang menilai kita (Malaysia) berpendapat tidak mungkin hal ini berlaku tanpa penglibatan penjawat awam," katanya.

Laporan TIP yang dikeluarkan semalam menunjukkan kedudukan Malaysia naik daripada Tahap 3 Pemerhatian kepada Tahap 2.

Laporan itu turut menyarankan agar Malaysia memberi penekanan kepada kes pemerdagangan orang yang melibatkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi.

Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penjawat awam yang terlibat kerana tindakan itu bukan sahaja menjejaskan kedudukan Malaysia dalam laporan berkenaan malah memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara.

"Suka atau tidak, kita kena akur kepada syor ini kerana ada pihak yang menilai kita," katanya.

Mengulas peningkatan kedudukan Malaysia dalam laporan TIP, Saifuddin berkata peralihan tersebut memberi kesan positif terhadap sektor ekonomi negara.

Katanya penarikan balik sekatan import terhadap Sime Darby Plantation Bhd dan Top Glove dan FGV Holdings Bhd daripada dakwaan penggunaan buruh paksa turut memberi kelegaan kepada Malaysia.

"Peningkatan kedudukan dalam laporan dan penarikan sekatan terhadap produk yang disyaki menggunakan buruh paksa beri kesan bagus pada negara. Kedua-dua ini tentukan sama ada produk kita boleh dipasarkan atau tidak di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 6:10 PM