MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darulaman. FOTO Wan Nabil Nasir.
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darulaman. FOTO Wan Nabil Nasir.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan pihak yang menentang keputusan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen premis judi di Kedah.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, beliau sudah melaksanakan tanggungjawab untuk patuh pada perintah tuhan yang mengharamkan kegiatan judi.

"Saya sudah laksanakan peranan saya dan tetapkan pendirian selari dengan perintah tuhan. Sesiapa yang terbabit itu, jawab dengan tuhan, dia ingat lepas di dunia, akhirat tak lepas.

"Saya sudah buat apa dalam bidang kuasa saya, saya telah laksanakan perintah tuhan ke atas saya. Setiap manusia dihantar ke dunia ada tanggungjawab sebagai khalifah.

"Saya amat sedih, ada lagi ruang dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, bila dilaksanakan satu tuntutan besar dalam Islam, boleh dicaras macam itu saja," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Pada 14 November 2022, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen judi selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar negeri ini.

Pada 1 Januari tahun lalu, keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan menggunakan saluran perundangan dalam mempertahankan keputusan menutup premis judi di Kedah.

Katanya, setakat ini notis rayuan sudah difailkan ke Mahkamah Rayuan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 24 Jun lalu.

"Notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi difailkan pada 4 Julai lalu, semakan kehakiman telah dibuat operator syarikat perjudian dan diterima mahkamah.

"Ini bermakna keputusan Kedah dianggap terbatal dengan keputusan tersebut. Berikutan keputusan itu, kita kemuka dua notis untuk mohon tangguh sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan," katanya

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini dasar larangan kegiatan perjudian masih berkuat kuasa di negeri ini sehingga keputusan baharu diputuskan.

Katanya, syarikat perjudian terbabit turut memohon ganti rugi daripada kerajaan negeri kerana mereka tidak dapat beroperasi sebelum ini.

"Saya tak tahu berapa jumlahnya, tetapi kita boleh tahu berapa keuntungan diperoleh syarikat judi ini.

"Kita boleh tahu berapa banyak duit orang Kedah pergi kepada syarikat serta tauke judi dan saya tak mahu perkara itu berlaku.

"Jumlah itu bukan saya yang tentukan tetapi rasanya mahkamah yang akan tafsirkan nanti. Saya tak boleh ulas lanjut kerana ini masih kes mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 5:53 PM