Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan bertemu dengan rakan sejawatnya di Nepal, Bangladesh dan Indonesia bagi menerangkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Kata beliau, pertemuan selama empat hari untuk tiga negara sumber utama itu dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.

Menurut Saifuddin Nasution, pelan itu membabitkan lima sektor kritikal seperti perkilangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

"Cuma setelah kita memudahkan, kejayaan kepada anjakan polisi ini bergantung kepada negara sumber agar dapat bekalkan pekerja dalam sektor kritikal seperti perkilangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan khususnya.

"Saya diminta oleh jemaah menteri untuk saya berada di Nepal, Bangladesh dan Indonesia. Lawatan kerja empat hari ke tiga negara itu akan saya lakukan pada hujung bulan ini.

"Lawatan itu untuk saya sampaikan sendiri kepada rakan sejawat saya tentang perubahan polisi yang kita mulakan bertujuan untuk mempermudahkan proses majikan berkehendak kepada tenaga kerja bagi memenuhi keperluan ekonomi tadi.

"Kita harap, dengan pemakluman ini, negara berkenaan akan dapat berikan kerjasama yang sewajarnya ke arah menjayakan perubahan anjakan polisi yang kita umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan, 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan KSM bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing.

Sivakumar juga dilaporkan berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Sebelum ini, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 3:23 PM
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas lawatan kerja selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Mengenai Kesesakan di Tambak Johor (BSI dan KSAB) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI),Johor.  FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas lawatan kerja selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Mengenai Kesesakan di Tambak Johor (BSI dan KSAB) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI),Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN