Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Kerajaan sedang mencari mekanisma terbaik bagi menyelesaikan isu monopoli pengambilan pekerja asing yang menguntungkan sindiket dari negara sumber.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, mekanisma yang dicari meliputi bagaimana untuk membolehkan pemohon pekerja asing atau bakal majikan boleh berurusan secara rundingan terus tanpa melalui ejen pengambilan pekerja yang menelan belanja tinggi.

Beliau berkata, kunjungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke tiga negara sumber iaitu Bangladesh, Indonesia, dan Nepal baru-baru ini antaranya adalah bagi membincangkan hal berkenaan yang membabitkan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Katanya, isu berkenaan mendapat perhatian serius Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam apabila mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana membabitkan kos tinggi.

"Jadi usaha sedang diambil bagi memastikan pekerja asing tidak disalah gunakan oleh mana-mana pihak untuk membuat keuntungan tinggi.

"Banyak usaha sudah diambil antaranya menerusi kunjungan KDN ke tiga negara sumber minggu lalu untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MyRA) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTM Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) membantah monopoli agensi melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket yang terdiri daripada agensi pekerjaan negara tertentu bagi mengeksploitasi kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivakumar berkata kementeriannya melihat terdapat keperluan menambah bilangan pekerja asing kepada 518,000 berbanding jangkaan awal 500,000 pekerja menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Beliau berkata, pihaknya melihat banyak permohonan masuk diajukan kepada KSM menerusi program itu khususnya lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan lihat sekiranya ada keperluan untuk menambah jumlah itu namun ia mestilah tidak boleh melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain tidak mengganggu peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 2:29 PM