GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2023 (HRAA) dengan memberi penekanan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kempen itu akan dilaksanakan seluruh negara oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan mengutamakan advokasi seiring operasi penguatkuasaan bermula esok.

"Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA kali ini adalah memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak atau child restraint system (CRS).

"Ini kerana statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,252 kes kemalangan maut membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dilaporkan dari 2012 hingga 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2023 (HRAA) di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan mengakui ia perlu ditangani segera menerusi penguatkuasaan berterusan dan advokasi kepada pemandu yang tidak menggunakan CRS.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membeli kerusi CRS yang melepasi standard piawaian ISO.

"Ini kerana aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya pelanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

"Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak," katanya.

Katanya, walaupun usul penggunaan kerusi khas kanak-kanak itu sudah diluluskan pihaknya masih mengambil pendekatan advokasi bagi mendidik orang ramai.

"Kita kaji dari pelbagai aspekā€¦ kalau keluarga itu anak ramai, saiz kereta besar dan sebagainya.

"Jadi buat masa ini kita lebih fokus kepada advokasi berbanding penguatkuasaan," katanya.

Sementara itu, Ops Khas HRAA memfokuskan kepada Ops Motosikal yang akan dijalankan secara bersasar di seluruh negara.

Katanya, operasi itu akan diadakan pada 27 dan 28 Jun serta 1 dan 2 Julai.

"Fokus ini adalah berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh tahun 2010-2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain yang melebihi 60 peratus.

"MOT melalui JPJ memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan bertoleransi bersama pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 5:02 PM