GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


PENGUATKUASAAN penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) masih diteruskan sehingga akhir tahun ini, namun dilaksanakan secara advokasi untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pada masa sama kementerian akan merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi tahap keselamatan kanak-kanak tanpa membebankan rakyat, khususnya ibu bapa.

"Kementerian akan terus meneliti maklum balas daripada orang ramai mengenai piawaian berat, tinggi dan umur kanak-kanak yang perlu menggunakan CRS supaya terus setara dan relevan dengan standard keselamatan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

"Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) akan dipertanggungjawab untuk menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai perkara itu.

"Jadi, bagi masa kepada kita untuk melaksanakan kajian ini, apabila siap kelak akan dimaklumkan kepada masyarakat. Sementara itu, pendekatan advokasi masih dijalankan hingga akhir tahun dan tiada saman akan dikenakan kepada ibu bapa yang belum menggunakan CRS," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris @Tubau (Bersatu-Libaran) yang ingin mengetahui sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan CRS yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, dan adakah kementerian bercadang untuk meluaskan pelaksanaannya ke sektor pengangkutan awam.

Wee berkata, buat masa ini, pemakaian CRS hanya diwajibkan kepada kenderaan persendirian saja, namun pengecualian turut diberikan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang besar yang tidak membolehkan peralatan CRS dipasang dengan sempurna di dalam kenderaan.

Beliau berkata, kerajaan juga sedar wujudnya kekangan untuk memperluaskan pelaksanaan peraturan CRS kepada kenderaan perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, teksi dan kenderaan e-hailing di atas faktor praktikaliti.

"Sebagai contoh, peralatan CRS mungkin tidak sesuai untuk dipasang di tempat duduk di dalam bas juga kekangan menyediakan peralatan CRS yang bersesuaian untuk satu kanak-kanak oleh perkhidmatan teksi dan e-hailing, mengambil kira saiz kanak-kanak yang berbeza-beza.

"Saya sudah mengarahkan Miros untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta pihak pembuat dan pengimport CRS ke arah mengurangkan kos jualan CRS.

"Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, penggunaan CRS adalah digalakkan untuk kegunaan pelanggan, mungkin dalam aplikasi boleh maklumkan mereka mengenakan caj RM1 atau RM2 untuk mendapatkan CRS," katanya.

Wee berkata, berdasarkan kajian, sejak peraturan ini diperkenalkan, terdapat bukti jelas menunjukkan kesedaran ibu bapa berhubung penggunaan CRS meningkat.

"Kadar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak meningkat sebanyak enam peratus iaitu daripada 38 peratus pada 2019 kepada 44 peratus pada 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 1:12 PM