Shaharuddin (kiri) menandatangani plak perasmian Stesen JPJ di R&R Pagoh arah selatan, Muar hari ini. Foto Badrul Kamal Zakaria
Shaharuddin (kiri) menandatangani plak perasmian Stesen JPJ di R&R Pagoh arah selatan, Muar hari ini. Foto Badrul Kamal Zakaria
Oleh Badrul Kamal Zakaria

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan kaedah pencegahan dan pendidikan kepada orang ramai berhubung penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ia berdasarkan arahan daripada Kementerian Pengangkutan, JPJ mula melaksanakan penguatkuasaan CRS mulai 1 Januari lalu.

“Bagaimanapun, kita akan kuatkuasakan melalui pendidikan terlebih dahulu. Maknanya akan melaksanakan pendidikan serta pencegahan.

“JPJ tidak akan secara terus atau mudah menyaman sesiapa yang belum memasang CRS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena majlis perasmian Stesen JPJ Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, arah selatan di Muar hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Dasar dan Perancangan Strategik JPJ Datuk Ahmad Nasir Abdul Gani dan Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Selatan Mohd Shahrir Amin Ahmad.

Menurutnya, pihaknya akan beritahu dan mendidik orang awam.

“Apa yang kita lakukan di peringkat awal ialah melalui statistik terlebih dahulu. Kita akan tanya orang kenapa tak pakai CRS, lepas itu kita didik mereka.

“Kita akan kemas kini statistik dan dapat mengetahui berapa yang tiada CRS serta laporkan kepada kementerian,” katanya.

Menurutnya, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan saman tidak akan dikeluarkan lagi.

Shaharuddin berkata, selepas tempoh enam bulan pihaknya akan menilai semula apa yang perlu dilakukan oleh JPJ kelak berhubung penguatkuasaan pemasangan CRS.

“Kita tidak mahu dilihat terlalu kejam kepada orang awam walaupun JPJ diarahkan membuat penguatkuasaan kerana kita kena memahami keadaan ini.

“Pihak pembekal CRS juga masih belum bawa kemudahan itu ke Malaysia dan mereka pun kena melihat piawaian CRS yang sudah ditetapkan,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang, Shaharuddin berkata, JPJ sudah melaksanakan penguatkuasaan berhubung perkara itu sejak 2017.

“Bagaimanapun, kita masih lagi melaksanakan secara menyeluruh kerana ingin mendidik pengguna untuk memakai tali pinggang keledar belakang.

“Kalau ada penumpang belakang tidak pakai tali pinggang keledar, kita tidak saman sebaliknya didik mereka dahulu sama seperti CRS ini dan kita akan lihat semula dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Mengenai permit masuk kenderaan (VEP) dari Singapura, beliau berkata, perkara itu masih lagi ditangguhkan kerana JPJ masih berurusan dengan pengguna dari negara berkenaan bagi pemasangan sistem pengenalan frekuensi radio (FRID).

“Sekarang kita dalam fasa memasang pelekat FRID terhadap semua kenderaan Singapura yang berdaftar dengan JPJ.

“Kita jangka dalam tempoh enam bulan, perkara ini akan dapat diselesaikan.

“Sehingga kini, sudah ada 230,000 kenderaan yang berdaftar dengan JPJ dengan 60,000 sudah dipasang FRID. Selebihnya kita akan tingkatkan usaha pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 3:13 PM