Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Mulanya saya bergegas ke gerai makan untuk bantu isteri menyelamatkan perkakasan berniaga serta khemah gerai yang dilanda angin kuat.

"Namun rupanya rumah kami pula dilanda banjir berikutan bumbung diterbangkan angin," kata Nor Azahar Zulkifli, 36, berhubung gerai dan rumahnya di Tingkat Perpaduan 1, Taman Perpaduan, dekat Tambun, di sini yang mengalami kerosakkan berikutan dilanda ribut petang semalam.

Nor Azahar berkata, kira-kira jam 5 petang, dia dihubungi isteri, Asmaliza Fazin, 36, meminta bantuan menyelamatkan peralatan serta khemah jualan mereka yang sedang dilanda angin.

"Masuk sahaja di pintu utama rumah selepas pulang dari gerai, kami lihat bahagian ruang tamu sudah 'banjir' dengan air hujan.

"Memang sebelum ke gerai saya terdengar dentuman seakan bunyi kepingan zink jatuh namun tidak pula menyangka ia adalah rumah saya lalu meneruskan perjalanan ke gerai," katanya ketika ditemui semasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Muhamad Arafat Varisai ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Nashrun di Taman Perpaduan di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhamad Arafat Varisai ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Nashrun di Taman Perpaduan di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Kejadian ribut yang melanda di kawasan mukim Hulu Kinta dalam kawasan parlimen Tambun, di sini, petang semalam menyebabkan 39 premis termasuk 33 daripadanya yang merupakan premis kediaman terjejas rosak susulan ribut dengan 17 daripadanya adalah rumah di kawasan perumahan Taman Perpaduan.

Pemilik gerai makan, Nashrun Ismail, 54, berkata kejadian yang menyebabkan premisnya musnah diterbangkan ribut adalah terburuk sejak mendiami kawasan itu sejak 41 tahun lalu.

"Kejadian berlaku selepas Asar, mulanya hanya hujan namun 20 minit kemudian saya lihat sendiri angin terbangkan semua barang niaga di gerai.

"Saya masuk ke rumah kerana tidak berani duduk luar sebelum sempat melihat khemah (kanopi) niaga berpusing-pusing serta diterbangkan.

"Takut sungguh, saya bersama dua anak berusia 18 dan 27 tahun hanya melihat kejadian itu dan mujur rumah kami yang hanya bersebelahan gerai tidak terjejas," katanya.

Sementara itu, Muhamad Arafat berkata sumbangan tunai daripada Pusat Khidmat DUN Hulu Kinta bersama Pusat Khidmat Parlimen Tambun akan disampaikan kepada kesemua 39 mangsa ribut terbabit dalam sebuah majlis yang diadakan pagi esok di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:17 PM