Puting beliung di Titi Gajah petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Puting beliung di Titi Gajah petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi dan Norul Awatif Romli


Alor Setar: Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan menerima maklumat berhubung pembentukan puting beliung di Titi Gajah berhampiran TH Hotel dan Pusat Konvensyen Alor Setar 3.18 petang tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia Alwi Bahari berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.

"Puting beliung biasanya terbentuk dengan kelembapan udara dan pembentukan awan ribut, bagaimanapun berdasarkan rakaman mengenai kejadian itu yang kita terima, faktor itu tidak ada. Apa pun kita sedang kumpul maklumat mengenainya.

“Berdasarkan rakaman itu kita percaya ia lebih kepada puting beliung jenis pusaran debu yang biasanya terbentuk akibat cuaca panas dan selalunya berlaku di padang pasir,” katanya.

Sementara itu, di Taman Wira Mergong, di sini, bumbung empat rumah dan khemah gerai minuman di hadapan sebuah sekolah turut rosak akibat angin kencang.

Pemilik gerai Nor Zami Ikhwan Azmi, 27, berkata, dia bersama dua rakan sedang melayan seorang pelanggan sebelum dikejutkan dengan kehadiran angin kencang kira-kira 5.30 petang.

Katanya, angin kencang selama lebih 10 saat menerbangkan khemah dan peralatan berniaga.

"Pada masa sama, pelanggan terbabit berlari masuk ke dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari gerai untuk menyelamatkan diri.

“Seorang rakan sakit badan akibat terkena penutup tong air batu yang turut diterbangkan angin," katanya.

Nor Zami berkata, itu kejadian pertama kali menimpanya dan ia benar-benar berlaku di depan mata.

“Pada awalnya saya sangka ia hanya angin biasa, namun terkejut apabila melihat ekor pusaran angin selepas ia bergerak melepasi khemah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 11:47 PM