Norzamira Che Noh

OPERATOR cawangan dobi layan diri yang meletup sehingga menyebabkan seorang lelaki maut dan anak perempuannya parah di Klang, awal bulan ini, didapati gagal hadiri seminar keselamatan, bulan lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan City Coin Laundry Sdn Bhd, Paul Ang, berkata, selain operator terbabit, dua lagi operator juga tidak menghadiri seminar itu.

Pihaknya juga sudah menghantar tiga notis melalui e-mel kepada operator Laundrybar termasuk operator cawangan dobi layan diri yang meletup.

Katanya, menerusi e-mel bertarikh 19 April, 21 Ogos dan 3 September,

pemilik cawangan diminta menambah baik sistem gas di premis masing-masing.

“Seminar berkenaan diadakan pada 26hb September lalu tetapi malangnya operator dobi itu tidak menghadirkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ang berkata, pihaknya mendapati orang ramai membuat andaian dengan menyalahkan syarikat itu.

Justeru, pihaknya mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak terhadap operator yang enggan menaik taraf sistem gas di premis masing-masing

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keselamatan pelanggan adalah keutamaan dan sangat dititikberatkan oleh pihak kami,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, seorang lelaki dan anak perempuannya melecur selepas berlaku letupan di sebuah dobi layan diri 24 jam di Bandar Putera 2, dekat Klang.

Difahamkan kejadian jam 9 pagi itu berlaku selepas mangsa yang berusia 43 tahun itu menekan butang mula pada mesin pengering berkenaan.

Insiden itu menyebabkan beliau melecur 57 peratus dan anaknya, remaja berusia 14 tahun itu melecur 37 peratus di beberapa bahagian badan.

Lelaki itu kemudiannya meninggal dunia pada 14 Oktober lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bapa meninggal dunia, anak masih dirawat

Dua beranak melecur kedai dobi meletup

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 3:34 PM