LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan Shafinas Ismail yang melecur selepas terkena letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan, kini bertambah baik.

Kakaknya, Sharifah Ismail, 37, berkata, pembalut pada muka Shafinas sudah dibuka.

"Alhamdulillah, doktor sudah buka pembalut pada muka adik hari ini.

"Malah sejak kisah adik disiarkan di Harian Metro, ramai yang menghubungi saya bertanya keadaan adik termasuk memberikan sumbangan," katanya.

Sharifah terharu dan berterima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesihatan adiknya itu.

Harian Metro semalam melaporkan, Sharifah mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan Shafinas yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana melecur kedua tangan dan muka selepas tong LPG meletup di rumahnya.

Kejadian malang itu menimpa ketika Shafinas, 33, yang menetap di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson mahu menyediakan sarapan pada 7 Mei lalu.

Shafinas menukar tong LPG baharu berikutan tong sedia ada kehabisan gas sebelum ia meletup dan menyebabkan wanita itu tercampak.

Sejak itu, ibu kepada tiga anak terbabit dimasukkan ke ICU HKL.

Orang ramai yang ingin membantu Shafinas boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7024774421 atas nama Sharifah Ismail atau menghubunginya di talian 017-5727802.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:21 PM