ARIF Aiman Azhar tidak berenggang dengan ibunya, Marlina Ramli sepanjang majlis pernikahan. FOTO Ihsan Marlini Ramli
ARIF Aiman Azhar tidak berenggang dengan ibunya, Marlina Ramli sepanjang majlis pernikahan. FOTO Ihsan Marlini Ramli
Redzuan Muharam


Gua Musang: Kasih sayang pemuda Sindrom Down, Arif Aiman Azhar terhadap Marlina Ramli sangat mendalam hingga seakan berat untuk melepaskan ibunya itu mendirikan rumah tangga.

Buktinya, Arif Aiman, 19, tidak berenggang dengan Marlina, 45, sepanjang majlis pernikahan dan perkahwinan ibu dengan bapa tirinya, Henny Mohammad, 45, baru-baru ini.

Gelagat Arif Aiman dapat dilihat menerusi video dimuat naik ibu saudaranya, Marlini Ramli, 38, di TikTok yang menunjukkan pemuda itu memegang kain persalinan pengantin dipakai ibunya selain sentiasa berada di sisi ibunya daripada awal hingga akhir majlis.

Perkongsian video itu mendapat perhatian netizen yang terhibur melihat keletah Arif Aiman hingga ada menyangka pemuda itu yang berkahwin kerana memakai baju warna sedondon dengan ibunya.

Menceritakan kisah sebenar, Marlini yang juga pensyarah berkata, dia berkongsi video berkenaan di TikTok untuk dijadikan kenangan sempena hari bahagia kakaknya (Marlina).

"Sepanjang majlis akad nikah, Aiman (nama panggilan) bersama mamanya, asyik puji mama dia cantik, kerap buat tanda 'love' dan 'thumb up' kepada ibunya.

"Waktu majlis kahwin dia okay saja, nampak gembira tengok mama di pelamin dengan papa baru.

"Ketika majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki, Aiman nampak sedih kerana dia ingat akan berpisah dengan mamanya walaupun sehari saja dan mujurlah, papa barunya pandai pujuk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ARIF Aiman Azhar bergambar kenangan dengan ibu, Marlina Ramli dan bapa tirinya, Henny Mohammad di atas pelamin.FOTO  Ihsan Marlini Ramli
ARIF Aiman Azhar bergambar kenangan dengan ibu, Marlina Ramli dan bapa tirinya, Henny Mohammad di atas pelamin.FOTO Ihsan Marlini Ramli

Berkongsi perihal Arif Aiman, Marlini berkata, anak saudaranya itu adalah anak tunggal disahkan Sindrom Down sejak lahir dan kini bersekolah di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahayaku, di sini.

Marlini berkata, walaupun Aiman Sindrom Down, namun, anak yang penyayang dan boleh urus diri sendiri.

"Aiman tak boleh lihat mamanya susah hati dan rajin kerja rumah tanpa disuruh seperti lipat baju, menyapu dan mengemas.

"Saya pernah tengok Aiman buat semua itu waktu pergi rumah dia dan agak terkejut juga anak sepertinya boleh buat semua macam insan normal," katanya.

Berhubung reaksi netizen, Marlini berkata, rata-ratanya memberi kata-kata positif di ruangan komen.

"Ada yang tersentuh hati tengok gelagat Aiman apabila melihat dia peluk mamanya waktu bertandang ke rumah pengantin lelaki.

"Ramai juga yang mendoakan Aiman dan sebagai ibu saudara, saya ucapkan terima kasih dan berdoa semoga mereka juga keluarga dimurahkan rezeki serta diberi kesihatan baik," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 12:12 PM