ABANG Johari (tengah) selepas Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS 2022 hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
ABANG Johari (tengah) selepas Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS 2022 hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kota Samarahan: Sarawak berhasrat mengembangkan sektor pertanian moden bagi mencapai matlamat untuk menghentikan kebergantungan kepada pengimportan makanan menjelang 2030 akan datang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bagi mencapai hasrat itu, kepakaran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khususnya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diperlukan bagi membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini.

Beliau berkata, Unimas memiliki tenaga pakar dalam bidang pertanian moden yang boleh mengkaji kaedah terkini dan terbaik untuk membolehkan Sarawak mengeluarkan makanan sendiri yang mencukupi untuk menampung keperluan rakyat serta beralih menjadi pengeksport pula.

"Sekarang kita melihat krisis bekalan makanan mentah sedang berlaku di negara kita dan sudah tentunya Unimas boleh memainkan peranan penting dalam membantu hasrat kerajaan Sarawak terutamanya menghasilkan kepakaran dalam bidang pertanian moden.

"Sarawak mempunyai tanah yang luas dan kita seharusnya boleh menjadi pengeksport makanan, bukannya pengimport makanan seperti yang berlaku ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Sulong Matjeraie dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Seri Dr Syed Hussian Al-Junid.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Pro Canselor Unimas berkata, keadaan sekarang disifatkan 'agak aneh' kerana Sarawak mempunyai banyak tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian berskala besar, namun negeri ini masih bergantung kepada makanan import.

Menurutnya, situasi itu dianggap tidak munasabah kerana dengan keluasan tanah yang ada, Sarawak sepatutnya sudah menjadi pengeluar makanan.

"Ini berlaku kerana pengeluaran kita tidak menggunakan proses yang efisien untuk mengeluarkan makanan berkualiti tinggi, jadi dalam hal ini, masanya sudah tiba untuk kita menggunakan sepenuhnya kaedah pertanian moden iaitu menggunakan digital.

"Sebab itu, saya sudah berbincang dengan Unimas untuk membuat makmal di luar bandar bagi melatih petani muda yang ada latar belakang teknologi untuk menceburi bidang pertanian moden berskala besar menggunakan kaedah Internet of Things (IoT)," katanya.

Katanya, beliau yakin Unimas mampu melaksanakan kajian untuk meningkatkan pengeluaran serta membangunkan tenaga pakar dalam pertanian moden menerusi makmal di luar bandar dalam tempoh setahun seterusnya mengembangkan sektor pertanian daripada sara diri kepada pengeluaran eksport menjelang 2030.

Terdahulu, Abang Johari turut menyempurnakan istiadat pemasyhuran Uggah sebagai Pro Canselor kelima Unimas.

Seramai 3,695 graduan menerima ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda pada majlis konvokesyen komemoratif yang diadakan dalam empat sidang sehingga 29 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 4:44 PM