Dr Amee Joan, antara 3,972 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-26 UNIMAS. FOTO MOHD ROJI KAWI
Dr Amee Joan, antara 3,972 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-26 UNIMAS. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi

Kota Samarahan: Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Amee Joan memilih untuk mengkaji etnik minoriti Kejaman selepas bermimpi beberapa tahun lalu.

Wanita berketurunan Iban berusia 51 tahun yang berasal dari Baru Lintang, Sri Aman itu berkata, dalam mimpinya itu dia terlihat perkataan 'Kejaman' tertulis pada kepingan kaca.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak mengetahui perkataan itu namun selepas bertanya dengan rakan, dia diberitahu ia adalah nama satu suku kaum minoriti yang hanya ada di Belaga di pedalaman Hulu Rajang.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk menjadikan penyelidikan terhadap budaya dan bahasa etnik itu apabila melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) kira-kira empat tahun lalu.

"Sebelum itu, saya tidak mengetahui etnik Kejaman itu, macam mana bahasa mereka dan di mana lokasi kediaman mereka.

"Selepas mendapat sedikit maklumat, saya bertekad untuk membuat penyelidikan berhubung etnik itu dan selepas saya mengambil masa kira-kira enam bulan tinggal bersama etnik itu di dua penempatan di Belaga iaitu Kampung Ba Segaham Dan Kampung Neh Long Litten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen Unimas ke-26 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di DETAR Putra di sini, hari ini.

Hadir sama isteri beliau Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Naib Cancel Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Sulong Matjeraie dan Ahli Lembaga Pengarah Unimas termasuk Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Seramai 3,972 graduan diraikan pada majlis itu dengan 3,404 daripadanya graduan pascasiswazah dan 526 graduan siswazah serta 42 graduan Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

Menurut Amee, hasil pergaulan rapat dengan penduduk di dua Kampung terbabit, dia akhirnya berjaya menghasilkan kamus bahasa etnik Kejaman yang kini sudah berada di pasaran.

"Menerusi kajian itu juga saya mendapati jumlah sebenar etnik Kejaman adalah lebih 4,000 orang, bukannya hanya sekitar 500 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Namun, ramai antara mereka sudah berkahwin campur dengan etnik lain dan ramai yang tidak lagi bertutur dalam bahasa Kejaman sebaliknya mereka khususnya golongan muda berbahasa Iban.

"Ia tidak bermakna bahasa Kejaman menuju kepupusan kerana masih ramai lagi yang tinggal di kampung bertutur dalam bahasa ibunda mereka," katanya.

Amee juga mencipta sejarah sebagai kakitangan Unimas pertama yang melanjutkan pelajaran peringkat PhD di universiti berkenaan berkata, cabaran utama yang dihadapinya sepanjang empat tahun pengajian adalah komitmen terhadap tugasnya sebagai Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas.

"Pada masa yang sama, saya juga seorang ibu kepada dua anak dan saya lega kerana apabila saya melengkapkan PhD, dua anak saya itu turut melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dengan seorang iaitu anak perempuan berusia 20 tahun belajar di Unimas, manakala yang lelaki berusia 25 tahun melanjutkan pelajaran di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 4:08 PM