Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "I am a party man (saya orang parti) jadi saya serahkan ia kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan saya bertanding atau tidak," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mendakwa beliau dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Menurutnya, semua keputusan mengenai PRN akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti dan fokus utama mereka memenangi semua kerusi ditandingi.

"Bagi saya keputusan (mencalonkan dirinya) adalah ditentukan kepimpinan jadi terpulang pada pucuk pimpinan BN.

"Bagi saya kalau bertanding atau tidak bertanding tidak penting yang penting adalah BN bersama Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan, menang seberapa banyak kerusi yang boleh," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Exim Go-Eksport, di sini, hari ini.

TENGKU Zafrul Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
TENGKU Zafrul Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, apa saja keputusan pucuk pimpinan beliau menghormatinya dan akan berjuang bersama parti dalam PRN tidak lama nanti.

"Jika bertanding saya 'ok', kalau tidak bertanding (juga) saya 'ok' tetapi saya akan berada di sini untuk membantu dalam pilihan raya negeri," katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengaitkan ada usaha membawa Tengku Zafrul bertanding salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di Parlimen Kota Raja pada PRN Selangor.

Terdahulu, media melaporkan Umno Bahagian Kota Raja enggan mengulas mengenai khabar angin berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari dipetik berkata, soal pemilihan calon diketengahkan pada pilihan raya diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 12:49 PM