GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Landskap politik negara seharusnya berubah dengan menampilkan muka baharu yang lebih segar terutama dalam kepimpinan parti supaya kekal relevan dalam meraih kepercayaan rakyat terutama golongan muda.

Penganalisa politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kepimpinan parti perlu diremajakan dan tidak hanya bergantung kepada kepimpinan politik 'orang tua'.

Menurutnya, pemimpin lama yang masih dalam kepimpinan tertinggi parti perlu berundur bagi memberi peluang kepada pelapis muda dan muka baharu menerajui parti.

"Jika mereka berterusan enggan mengundur diri dan mencuba nasib bertanding dalam pilihan raya, rakyat akan menghukum mereka.

"Misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Adnan Tengku Mansor (apabila mereka tewas dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelmarin)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya berkata, situasi yang berlaku pada PRU-15 yang menyaksikan rekod terburuk Barisan Nasional (BN) disifatkan satu 'mesej' jelas rakyat kepada parti itu.

"Keputusan PRU-15 menunjukkan rakyat terus menghukum BN dan secara khusus menghukum Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu sendiri.

"Salah satu faktor juga mereka mahu nafas dan wajah baharu politik. Pengundi 18 (undi18) adalah 'wild voters' iaitu sangat sukar menentukan arah kecenderungan politik dan sentimen politik mereka juga sentiasa berubah," katanya.

Justeru katanya, Malaysia memerlukan nafas baharu politik yang lebih segar berbanding hanya berpandukan kepimpinan parti yang sudah tidak relevan dengan persekitaran politik semasa

"Parti politik perlu memahami hal ini, jangan hanya sekadar mencalonkan ramai pemimpin muda dan baharu serta kepimpinan bawahan yang muda tetapi kepimpinan parti juga perlu diremajakan.

"Kepimpinan parti terbabit bermula daripada Presiden hinggalah ke pimpinan akar umbi," katanya.

Semalam, media melaporkan ramai akar umbi Umno menggesa Ahmad Zahid berundur kerana prestasi buruk BN pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 3:55 PM