Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Pelancong warga asing ditahan polis selepas video dia berbogel di balkoni sebuah hotel di sini tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki warga China berusia 40 tahun itu ditahan pada 9.30 malam semalam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pihaknya mengesan video berdurasi sembilan saat menunjukkan seorang lelaki keluar ke balkoni hotel yang menghadap jalan raya tanpa sebarang pakaian.

"Aksi lelaki itu telah dirakam oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum tersebar di laman media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, suspek kini direman empat hari hingga 12 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan berkelakuan lucah di tempat awam.

"Individu yang merakam kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji atau tampil di IPD Semporna atau mana-mana balai berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 10:12 PM