Nabil Ahmad
Nabil Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad menjelaskan bahawa video iklan kecergasan yang mempromosikan sebuah pusat kecergasan dan menampilkan dia memakai seluar pendek serta menampakkan auratnya adalah video lama.

Penjelasan itu adalah bagi menjelaskan kepada pengguna platform TikTok yang menonton video itu dan mempersoalkan penampilan Nabil dalam video itu dengan penampilannya kini yang lebih menutup aurat.

"Saya tak tahu langsung video itu 'keluar' semula di TikTok. Itu video lama saya. Dulu, semasa zaman jahiliah kot. Zaman saya rajin ke gimnasium dulu. Saya pun tak perasan mereka kongsi semula iklan itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabil, video itu dirakamkan beberapa tahun lalu dan dia juga sudah lama tidak ke pusat kecergasan itu.

"Memang dah lama sangat saya tak ke situ, dah bertahun-tahun dah. Kalau tak salah, penggambaran iklan itu pun dah lama. Mungkin sebelum pandemik Covid-19 lagi. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Dalam video itu, Nabil melakukan beberapa aktiviti kecergasan menggunakan peralatan di pusat kecergasan itu. Dalam video itu, Nabil memakai kemeja-T putih serta seluar pendek atas paras lutut.

"Lutut Pak Haji," tulis satu netizen.

"Ya Allah Haji, tutup aurat, Haji," tulis satu netizen lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:33 PM