GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Minyak sawit memiliki banyak kelebihan dan kebaikan yang tidak diketahui ramai kerana sifat serbagunanya khusus dalam sektor pembuatan menjadikannya lebih menonjol berbanding produk lain.

Felo Bersekutu Pusat Kajian Ungku Aziz Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim berkata, faktor terbabit juga menyebabkan minyak sawit menjadi subjek ejekan ramai dengan kritikan sedemikan didakwa disuarakan daripada pesaing komoditi itu.

"Presiden Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Masak Malaysia (MOSTA), Tan Sri Dr Augustine Ong sangat percaya bahawa minyak sawit adalah anugerah alam kepada manusia terutama dengan kesan positifnya terhadap golongan miskin.

"Di Malaysia, industri minyak sawit mengangkat ramai pekebun kecil keluar dari kemiskinan.

"Skim Felda sering disebut, bahkan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, sebagai program mengurangkan kemiskinan berjaya yang cuba ditiru beberapa negara," katanya menerusi kenyataan.

Ahmad yang juga dari Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar, UCSI University berkata, sifat minyak sawit yang separa pepejal tidak terdapat dalam minyak sayuran lain.

Katanya, dengan menggunakan teknologi seperti penurasan, hanya minyak sawit boleh menghapuskan lemak trans yang bahaya kepada manusia.

"Penggunaan minyak sawit kini bukan sahaja tertumpu kepada makanan, malah dalam sektor bukan makanan seperti oleokimia khususnya ketika banyak negara sedang berlumba bagi mencapai sifar pelepasan karbon.

"Ini kerana ramai mempercayai bahawa oleokimia akan diterima bagi menggantikan petrokimia, malah insiatif ini sedang berlaku," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua perkara positif terutama kebaikan mengenai minyak sawit perlu dirungkai dan dimaklumkan kepada dunia dengan lebih meluas.

"Augustine Ong merasakan kita tidak cukup memberitahu kepada dunia mengenai sifat positif minyak sawit. Mengakui bahawa kita kurang berkomunikasi mengenai kebaikan minyak sawit, MOSTA sudah mengambil tanggungjawab untuk memimpin usaha berkenaan.

"Sebagai seorang yang sangat percaya kepada minyak sawit, itu tidak mengejutkan kepada Augustine Ong. Malah pada usia lebih 80 tahun, beliau tidak pernah letih memperjuangkan bagi mendapatkan pengiktirafan lebih baik kepada minyak sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:22 PM