Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Polis berjaya membongkar kegiatan seorang penganggur yang menawarkan perkhidmatan pendaftaran vaksinasi Covid-19 dengan bayaran serendah RM20 di daerah ini.

Lelaki berusia 61 tahun itu kemudian ditahan di taman kanak-kanak di Pekan Semporna pada 2.35 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek dipercayai menerima bayaran bagi setiap penerima vaksin yang mendapat suntikan di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Masyarakat Semporna, di sini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati 16 individu menggunakan khidmat suspek telah menerima vaksin masing-masing.

"Modus operandi suspek adalah dengan menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan suntikan vaksin kepada mana-mana orang yang berminat, dengan kadar bayaran serendah RM20.00," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, pihaknya memandang serius kegiatan itu sama ada didalangi kumpulan sindiket mahupun individu yang mengambil peluang untuk memperdaya orang bagi mendapatkan wang.

Katanya, tindakan berkenaan jelas menyalahi undang-undnag apatah lagi vaksin Covid-19 ditawarkan secara percuma kepada penduduk di Malaysia.

"Polis memohon kerjasama orang awam khasnya 16 individu yang terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 11:01 AM