GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bernama-Dpa

Washington: Sebuah syarikat kereta api yang berpangkalan di Texas diperintah membayar kira-kira US$400 juta (RM1.9 bilion) kepada komuniti Asli Amerika selepas syarikat itu mengangkut minyak mentah merentasi tanah rizab mereka tanpa kebenaran.

Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), The Seattle Times melaporkan bahawa syarikat kereta api BNSF telah mendapat kebenaran daripada Komuniti Suku Kaum Swinomish Indian untuk menggunakan landasan yang melalui wilayah komuniti itu sejak 1991.

Bagaimanapun, perjanjian itu menetapkan bahawa maksimum 25 gerabak dibenarkan melaluinya setiap hari dan komuniti itu mesti dimaklumkan tentang jenis-jenis kargo.

Kaum Swinomish menyaman syarikat terbabit pada 2015 selepas BNSF meningkatkan pengoperasian membawa minyak mentah ke kilang penapisan berhampiran tanpa mendapat kebenaran khusus bagi pertambahan kuantiti atau kargo.

Keputusan mahkamah sebelum ini mengesahkan bahawa syarikat terbabit melanggar perjanjian 1991.

Tahun lalu, dua kereta api BNSF tergelincir dari landasan hingga mengakibatkan tumpahan minyak yang teruk di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:32 PM