GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Georgetown: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan penahanan empat individu, termasuk dua wanita, bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan melarikan barang kemas dari kediaman pempengaruh, Siti Nur Khalieda Yusra atau 'Kieda Crepe'.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek terdiri daripada dua pasangan suami isteri berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan 6 Jun lalu, dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

"Siasatan kes itu sudah selesai dan kes dalam peringkat untuk dituduh di mahkamah bagi tindakan seterusnya.

"Secara keseluruhan, polis merampas pelbagai barangan kemas dan emas bernilai RM100,000 daripada mereka serta mendapatkan semula resit pajak gadai bernilai RM400,000 daripada suspek-suspek yang sudah menjual barang kemas serta emas yang dicuri di rumah mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Kediaman pempengaruh yang juga usahawan pencuci mulut di Pokok Sena, Kepala Batas, dekat sini, dipecah masuk perompak yang turut melarikan barang kemas dan pada 3 Jun lalu, Kieda memuat naik video di akaun TikTok selepas mendakwa masih tiada tangkapan dibuat terhadap suspek meskipun kejadian sudah 40 hari berlalu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang (JKDM) cedera parah tertembak diri sendiri ketika mahu menghadiri latihan menembak jabatan itu, Selasa lalu.

Beliau berkata, polis sudah merekodkan keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan dan ketika ini menunggu pegawai berusia 42 tahun itu yang sedang menerima rawatan di hospital sedar, untuk direkodkan keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 4:13 PM