Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) komited bekerjasama dengan EZ Qurban Sdn Bhd buat tahun ketiga untuk melaksanakan program ibadah korban dalam berkongsi rezeki sekali gus menyemarakkan sambutan Aidiladha.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama pihak Yayasan EZ Prihatin, yang bertindak sebagai urus setia dan pelaksana ibadah korban di negara ini.

Pengarang Kumpulan HM merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat meneruskan kerjasama dengan EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin dalam melaksanakan program berkenaan sejak 2021.

"Kami di Harian Metro sangat terharu dan teruja dengan sokongan serta kerjasama berterusan diberikan rakan korporat seperti EZ Qurban dan juga Yayasan EZ Prihatin, yang membolehkan program Titipan Kasih Korban ini mampu terus bertahan.

"Sebagai rakan media, kerjasama ini adalah bukti keprihatinan kami bersama berbakti dan menyantuni golongan kurang berkemampuan, terutamanya asnaf dan fakir miskin serta membawa keceriaan kepada mereka menyambut Aidiladha," katanya pada pelancaran program itu di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM Muhammad Safar Ahmad, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abd Malek, Pengarang Berita Kanan HM merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Ahmad Fadzlullah Hasanuddin.

AHMAD Zaini (tengah), Husain (kiri)  dan Ahmad Fadzlullah  ketika pelancaran TKHM dengan kerjasama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin.  FOTO Rohanis Shukri
AHMAD Zaini (tengah), Husain (kiri) dan Ahmad Fadzlullah ketika pelancaran TKHM dengan kerjasama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin. FOTO Rohanis Shukri

Husain berkata, beliau berharap kerjasama itu akan berterusan pada masa akan datang dalam berkongsi rezeki bersama golongan kurang berkemampuan sekali gus menyemarakkan sambutan Aidiladha.

"Program ini juga akan membabitkan sukarelawan daripada kakitangan kita sendiri selain bantuan penduduk kampung dan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM)," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzlullah berkata, jalinan kerjasama itu bukan sekadar menjalankan program korban bersama saja, sekali gus memberi impak lebih besar kepada masyarakat melalui penghayatan ibadah korban.

"Tahun ini kami sasarkan pengagihan sebanyak 1,100 tan metrik daging korban kepada lebih satu sejuta keluarga Islam khususnya buat golongan yang memerlukan.

"EZ Qurban melaksanakan ibadah korban di lebih 40 negara termasuk Malaysia. Di luar ia membabitkan negara ketiga seperti Bangladesh, Tanzinia, Kenya dan beberapa kem pelarian Somalia dan Rohingya membabitkan 1,000 lembu.

"Manakala di Malaysia ia akan membabitkan 100 lembu dan diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan B40 dan asnaf seluruh negara secara berperingkat," katanya.

Penyertaan ibadah korban dibuka sehingga 30 Jun ini dan bagi mereka yang mahu menyertai ibadah korban bersama EZ Qurban boleh layari laman sesawang EZ Qurban di www.ezqurban.org atau hubungi talian bebas tol 1800-885-885 atau melalui talian aplikasi WhatsApp 013-2386000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 4:51 PM