Yusmizal Dolah Aling dan Amir Mamat dan Nur Saliawati Sabri

Melaka: Biarpun berlangsung dalam norma baharu, program Titipan Kasih Korban Harian Metro bersama EZ Qurban Sdn Bhd berjaya mencapai matlamatnya dalam menyantuni golongan memerlukan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, selain dapat membantu mereka yang terjejas program Titipan Kasih Korban Harian Metro itu secara tidak langsung mengembalikan keceriaan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Walaupun berlangsung dalam norma baharu serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan program korban yang dengan kerjasama EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin berlangsung meriah.

"Harian Metro bukan sahaja berperanan sebagai penyampai maklumat dan berita semasa malah sentiasa prihatin dengan keadaan masyarakat setempat selain menjadi tanggung jawab social korporat (CSR) dalam membantu golongan yang memerlukan," katanya di Program Titipan Kasih Korban Harian Metro Bersama Ez Qurban di Maahad An- Nuriah Ad-Diniah, Sungai Udang di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Operasi EZ Qurban Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin dan Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro Noor Azam Abd Aziz.

Husain Jahit (dua dari kiri) menyerahkan hasil daging korban yang telah selesai dibalut rapi kepada wakil NGO Dato Rizal Abdullah (dua dari kanan) untuk dibawa masjid kariahnya ketika Program Titipan Kasih Korban bersama EZ Qurban di Maahad An-Nuriah Ad-Diniah Sungai Udang, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Husain Jahit (dua dari kiri) menyerahkan hasil daging korban yang telah selesai dibalut rapi kepada wakil NGO Dato Rizal Abdullah (dua dari kanan) untuk dibawa masjid kariahnya ketika Program Titipan Kasih Korban bersama EZ Qurban di Maahad An-Nuriah Ad-Diniah Sungai Udang, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Husain berkata, Harian Metro berbesar hati dapat menjalankan program ini ketika negara masih lagi berdepan dengan kes penularan Covid-19 yang masih tinggi.

"Dalam keadaan sekarang ramai yang terjejas khususnya golongan B40, malah ada yang kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal. Secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban mereka.

"Kali ini kita dibantu Persatuan Prihatin Malaysia (MyConcern) bersama Yayasan Ez Prihatin yang mengendalikan proses sembelihan sehinggalah agihan kepada golongan sasar.

"Kelab Met Harian Metro turut menyumbangkan seekor lembu. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan," katanya.

Menurut Husain, lima ekor lembu dikorban dan dibahagikan kepada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu, Kelab Wibawa Anak Melaka serta Kelab Qiraati Aishah sebelum diagihkan kepada penduduk setempat serta fakir miskin.

"Kita turut berpeluang menziarah dan mengagihkan bantuan kepada lima keluarga miskin di sekitar Pantai Puteri yang terjejas ekoran pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 2:53 PM