Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) meneruskan kerjasama bersama Ez Qurban Sdn Bhd menganjurkan program ibadah korban bagi berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Program kali keempat berkenaan akan diadakan pada 18 Jun di pusat penyembelihan di Jeram, Kuala Selangor sementara pengagihan daging kepada golongan memerlukan dilakukan di Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA).

Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama itu untuk tahun keempat.

Menurutnya, program berkenaan mampu memberi impak signifikan kepada golongan sasar dan ibadah itu sendiri.

Katanya, pihaknya menyasar 1,000 lembu disembelih dan dagingnya kira-kira 20 tan metrik akan diagihkan kepada kira-kira 20,000 hingga 30,000 golongan sasar di seluruh negara dengan mengenal pasti 22 lokasi pusat sembelihan.

"Untuk program bersama TKHM kita akan sembelih 10 lembu yang dagingnya akan diagihkan kepada golongan sasar. Tahun ini juga kita menyasar 10,000 ekor untuk ibadah korban di luar negara," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih membuka pendaftaran dan penyertaan ibadah korban sehingga Hari Raya Aidiladha kedua sama ada dalam atau luar negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Persefahaman Titipan Kasih Korban 2024 Harian Metro Bersama Ez Qurban dan Yayasan EZ Prihatin di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.

Majlis kerjasama antara dua pihak disempurnakan Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM Muhamad Safar Ahmad dan Ahmad Fadzlullah.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Ez Qurban Hafeez Firdaus, Penolong Pegawai Pemasaran Ez Qurban Azizudin Ali, Pengurus Besar Yayasan EZ Prihatin Muaz Abdullah, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abdul Malek, Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Penolong Pengarang Berita Yusmizal Dolah Aling.

Noor Azam berkata, Harian Metro teruja dan berbesar hati dapat meneruskan kerjasama dengan EZ Qurban dalam penganjuran program ibadah korban sejak 2021.

Menurutnya, sebagai organisasi media, Harian Metro bukan saja berperanan melaporkan berita dan isu semasa, pihaknya juga sedaya upaya melebarkan inisiatif tanggung jawab sosial korporat membantu masyarakat setempat.

"Kali ini kita memilih Kuala Selangor sebagai lokasi program keempat bersama EZ Qurban dan kali ini juga ada sedikit kelainan iaitu kita akan mengagihkan daging korban di rumah warga emas dan menyantuni beberapa rumah golongan B40.

"Selain itu program juga membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor yang mana EZ Qurban akan agihkan daging kepada pihak berkenaan untuk diagihkan kepada warga kerjanya," katanya.

Beliau berkata, program berkenaan sebahagian program TKHM dirancang sepanjang tahun yang menjadi bukti keprihatinan kedua-dua pihak menyantuni golongan kurang berkemampuan sekali gus membawa keceriaan kepada golongan sasar dalam menyambut Aidiladha.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran ibadah korban, boleh melayari laman web EZ Qurban di www.ezqurban.org atau hubungi talian bebas tol1-800-885-885 dan juga media sosial EZ Qurban di Facebook/IG/Youtube: @ezqurban dan TikTok: @ez.qurban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 3:38 PM
Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad (tiga kiri), bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn Bhd, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin (tiga kanan) ketika majlis simbolik persefahaman Titipan Kasih Korban 2024 Harian Metro bersama EZ Qurban, disaksikan oleh, Pengarah Projek Titikan Kasih Harian Metro, Noor Azam Abd Aziz , Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Sdn Bhd, Hafeez Firdaus dan Pengurus Besar Yayasan EZ Prihatin, Muaz Abdullah di Anjung Riong, Balai Berita Bangsar. FOTO AZIAH AZMEE
Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad (tiga kiri), bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn Bhd, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin (tiga kanan) ketika majlis simbolik persefahaman Titipan Kasih Korban 2024 Harian Metro bersama EZ Qurban, disaksikan oleh, Pengarah Projek Titikan Kasih Harian Metro, Noor Azam Abd Aziz , Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Sdn Bhd, Hafeez Firdaus dan Pengurus Besar Yayasan EZ Prihatin, Muaz Abdullah di Anjung Riong, Balai Berita Bangsar. FOTO AZIAH AZMEE