Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Korban bersama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin, baru-baru ini.

Acara ibadah korban itu dimulakan sejak awal pagi dibantu sukarelawan Harian Metro dan EZ Qurban di pusat sembelihan RMZ Jeram Resources di sini.

Manakala aktiviti memasak dan agihan daging korban pula dijalankan di Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Taman Malawati.

YUSRI (kiri), Safar (dua dari kiri), Duta EZ Qurban, Abon (tengah), Fadzlullah (dua dari kanan) serta Mokhtar pada Program Titipan Kasih Korban 2024 : Harian Metro Bersama EZ Qurban di Jeram, Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar
YUSRI (kiri), Safar (dua dari kiri), Duta EZ Qurban, Abon (tengah), Fadzlullah (dua dari kanan) serta Mokhtar pada Program Titipan Kasih Korban 2024 : Harian Metro Bersama EZ Qurban di Jeram, Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar

Pada program itu juga pihak penganjur turut menjamu penghuni di rumah berkenaan dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta agihan daging korban kepada 200 golongan asnaf.

Selain itu, agihan daging korban turut diserahkan kepada wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, pada tahun ini pelaksanaan ibadah dijalankan serentak di Melaka, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Sabah.

PETUGAS HM bersama sukarelawan membantu membawa daging korban untuk diagihkan kepada penerima. FOTO Faiz Anuar
PETUGAS HM bersama sukarelawan membantu membawa daging korban untuk diagihkan kepada penerima. FOTO Faiz Anuar

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Harian Metro atas sokongan yang diberikan dan berharap kerjasama diteruskan pada masa akan datang.

"Ini bukan kali pertama kita bekerjasama sebaliknya sudah masuk tahun keempat yang bermula pada 2021 dalam keadaan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun ini juga kita turut menerima sokongan daripada syarikat korporat. Contohnya, tahun ini syarikat Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd turut menyumbang tiga ekor lembu untuk diagihkan.

"Alhamdulillah, pendedahan kepada syarikat korporat semakin banyak dan mereka datang kepada kita untuk melaksanakannya," katanya selepas majlis pelancaran program berkenaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Manakala EZ Qurban diwakili Ketua Pegawai Operasi Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin dan Yayasan EZ Prihatin diwakili Pengurus Besarnya Muaz Abdullah.

YUSRI (dua dari kanan), Safar (tiga dari kanan) serta Pengasas SRA, Sharil (kanan) beramah mesra bersama penghuni. FOTO Faiz Anuar
YUSRI (dua dari kanan), Safar (tiga dari kanan) serta Pengasas SRA, Sharil (kanan) beramah mesra bersama penghuni. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, Yusri dalam ucapannya berkata, pihaknya berterima kasih dengan sokongan serta kepercayaan berterusan EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin untuk bekerjasama menganjurkan program yang memasuki tahun keempat.

"Sudah tentu kami berbesar hati dengan kerjasama strategik ini yang mana sama-sama dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.

"Selain itu, kami juga berkongsi rezeki dan bersedekah kepada golongan memerlukan, terutamanya golongan asnaf dan fakir miskin selain mengeratkan silaturahim dengan komuniti setempat," katanya.

TIMBALAN Ketua Strategik dan Komunikasi Korporat Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd, Shah Rizal Mohamed Fauzi ((kanan) menyerahkan sumbangan lembu korban.
TIMBALAN Ketua Strategik dan Komunikasi Korporat Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd, Shah Rizal Mohamed Fauzi ((kanan) menyerahkan sumbangan lembu korban.

Beliau berkata, sebagai media arus perdana, Harian Metro yang berusia lebih 30 tahun bukan sahaja berperanan untuk berkongsi dan menyampaikan maklumat dan berita semasa, malah komited untuk turun padang, berkorban masa dan tenaga bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan oleh golongan sasar.

Seronok terima daging korban

Kuala Selangor: Sambutan Aidiladha tahun ini membawa kegembiraan kepada 200 golongan asnaf dan kurang berkemampuan di sekitar daerah ini apabila disantuni menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Korban bersama EZ Qurban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin, baru-baru ini.

Suri rumah, Junaidah Japilus, 48, menyifatkan sumbangan barangan kering dan daging korban meringankan beban apabila berkongsi rezeki dengan ahli keluarga lain.

"Ini kali pertama saya menerima sumbangan, seronok sebenarnya apabila boleh turut serta dalam program seperti ini.

"Daging korban yang diterima saya boleh berkongsi dengan ibu saudara yang tinggal di sebelah rumah.

PETUGAS HM bersama sukarelawan membantu membawa daging korban untuk diagihkan kepada penerima. FOTO Faiz Anuar
PETUGAS HM bersama sukarelawan membantu membawa daging korban untuk diagihkan kepada penerima. FOTO Faiz Anuar

"Saya doakan semoga program TKHM diadakan lagi pada masa akan datang supaya lebih ramai keluarga dibantu," katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA), Taman Malawati, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, penerima sumbangan menerima barangan kering seperti beras, minyak masak dan daging korban.

Sumbangan itu disampaikan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad bersama Ketua Pegawai Eksekutif EZ Quban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin serta Pengasas Pusat Jagaan Warga Tua SRA Sharil Hussein.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek

Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin, Pengurus Besar Yayasan EZ Prihatin Muaz Abdullah dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu, warga emas, Amidah Hassan, 63, yang menetap di Tanjung Keramat berkata, dia bersyukur dirinya terpilih menerima bantuan itu dengan mendoakan kebaikan dihulurkan Harian Metro, EZ Quban Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin.

SAFAR (tiga dari kiri),Hafezz (dua dari kiri) serta Sharil Hussein (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Program Titipan Kasih Korban 2024. FOTO Faiz Anuar
SAFAR (tiga dari kiri),Hafezz (dua dari kiri) serta Sharil Hussein (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Program Titipan Kasih Korban 2024. FOTO Faiz Anuar

"Terima kasih tidak terhingga. Saya doakan semoga anda semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.

"Memandangkan suami sudah lima tahun meninggal dunia kerana penyakit kencing manis, saya kini tinggal bersama dua anak lelaki," katanya yang juga ibu kepada sembilan anak berusia 43 hingga 21 tahun.

Bagi Alfa Mohd Atan, 71, pula ini kali pertama dia mendapat sumbangan daripada ketiga-tiga pihak berkenaan.

"Alhamdulillah, dengan barangan kering dan daging korban ini dapat menjimatkan perbelanjaan perbelanjaan dapur sehingga hujung bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:30 AM