PASUKAN penyelamat melakukan perbincangan untuk mengesan dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala. FOTO Ihsan APMM
PASUKAN penyelamat melakukan perbincangan untuk mengesan dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

Kuala Kedah: Dua beradik dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki ketika menangkap ikan dipercayai dipukul ribut di perairan Kuala Sala di sini, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan dari Balai Polis Kota Sarang Semut memaklumkan waris mangsa melaporkan kejadian berkenaan pada jam 4.45 pagi.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi kemudian mengaktifkan Operasi Carilamat pada 1.30 tengah hari dan mengatur gerak bot Perkasa 1224 sejurus menerima maklumat.

"Dua perahu berpangkalan di Kuala Sala yang dinaiki tiga bersaudara itu keluar ke laut untuk memukat udang sebelum dibadai ribut menyebabkan salah sebuah perahu itu terdampar di pantai manakala sebuah lagi ditemukan terapung di laut oleh bot nelayan tempatan.

"Dua beradik terbabit, Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan Tajuddin, 41, berasal dari Kuala Sala masih hilang dan dikhuatiri lemas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, setakat ini usaha mengesan mangsa turut disertai agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 5:02 PM