Hairil Izhar (tiga dari kiri) berbincang bersama pegawai dari pelbagai agensi yang terbabit dalam operasi mencari nelayan yang hilang di Kuala Sala. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Hairil Izhar (tiga dari kiri) berbincang bersama pegawai dari pelbagai agensi yang terbabit dalam operasi mencari nelayan yang hilang di Kuala Sala. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


OPERASI mencari nelayan yang hilang selepas terjatuh di laut diteruskan 7 pagi hari ini meliputi 80 batu nautika kawasan pencarian dari Kuala Sala, Yan.

Sehingga kini, Mohd Hafiz Abu Hassan, 36, masih belum ditemui dan operasi akan diteruskan oleh pasukan penyelamat.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Norazmi berkata, operasi membabitkan 38 anggota dan pegawai dari empat agensi membabitkan APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu nelayan tempatan.

Beliau berkata, operasi menggunakan empat bot termasuk bot Penggalang 35 milik APMM Pangkalan Kuala Kedah untuk pencarian di sekitar kawasan mangsa dilaporkan jatuh.

"Setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui di lokasi pencarian dan hanya bot mangsa ditemui petang semalam.

"Walaupun keadaan laut agak sikit bergelora namun operasi mencari mangsa tetap diteruskan sehingga ditemui," katanya ketika ditemui di di pusat gerakan SAR di Kuala Sala, hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh di laut ketika memancing di Kuala Sala, Kuala Kedah, Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 11:49 AM