MAYAT Mohd Farizan ditemukan dalam lumpur paya bakau di Kuala Sala. FOTO ihsan Maritim Malaysia
MAYAT Mohd Farizan ditemukan dalam lumpur paya bakau di Kuala Sala. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mayat seorang daripada dua beradik yang hilang selepas perahu mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala ditemukan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pada 4.20 petang, Pangkalan Hadapan Carilamat menerima makluman daripada nelayan tempatan memaklumkan menjumpai mayat tersangkut di dalam lumpur paya bakau.

Beliau berkata, mayat dibawa keluar oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta dibantu penduduk tempatan pada jam 5 petang.

"Mayat itu disahkan sebagai Mohd Farizan Tajuddin, 41, oleh keluarga mangsa.

"Setakat ini operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, dua nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas perahu mereka disyaki dipukul ribut di perairan Kuala Sala, pagi tadi.

Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan dari Balai Polis Kota Sarang Semut memaklumkan saudara mangsa hadir memaklumkan mengenai kejadian pada 4.45 pagi.

Dua beradik terbabit ialah Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan dari Kuala Sala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 6:02 PM