Zuliaty Zulkiffli


NELAYAN yang hilang di laut, Sabtu lalu ditemui lemas kira-kira 12 batu nautika dari Kuala Sala, Yan, hari ini.

Mayat Mohd Hafiz Abu Hassan, 36, ditemui terapung pada 1.45 tengah hari tadi kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa terjatuh.

Timbalan Penolong Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalam Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Norazmi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada 7 pagi tadi membabitkan 80 anggota dan pegawai dari APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu nelayan tempatan.

Beliau berkata, walaupun keadaan laut bergelora namun operasi berjalan lancar di kawasan pencarian seluas 150 batu nautika hari ini.

"Mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi pencarian semalam namun disebabkan ia tenggelam kita gagal menemuinya.

"Namun pada hari operasi ketiga hari ini, mayatnya terapung dan memudahkan pasukan penyelamat menemuinya, " katanya ketika ditemui di pusat SAR Kuala Sala, hari ini.

Hairil Izhar berkata, 20 bot nelayan digunakan untuk operasi ini dan tiga buah bot APM, dua bot dari bomba dan sebuah bot APMM.

Beliau berkata, operasi SAR tamat pada 2.30 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, isteri mangsa, Ruhaida Idrus, 33, ketika ditemui bersyukur kerana jasad suaminya ditemui dalam keadaan sempurna pada hari ketiga operasi dilakukan.

"Alhamdulillah, dah jumpa... Saya reda dengan apa yang berlaku, " katanya tenang ketika ditemui di pusat SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 3:41 PM
MAYAT mangsa dibawa ke pusat SAR Kuala Sala sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MAYAT mangsa dibawa ke pusat SAR Kuala Sala sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Zuliaty Zulkiffli