Rusdi Ramli
Rusdi Ramli
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon, Rusdi Ramli, 54, selesa untuk menjaga privasi berkaitan kehidupan peribadi dan rumah tangganya tanpa menghebahkan kepada masyarakat.

Rusdi berkata, walaupun ramai menganggap selebriti adalah milik masyarakat, namun, dia tidak berpegang dengan kata-kata itu.

"Kalau dulu, kita ditanamvartis ini hak masyarakat. Saya sejak mula berkecimpung tak pernah percaya atau pegang bahawa benda itu adalah benda yang saya kena terima.

"Pada saya, kerja-kerja pelakon atau artis itu saja yang jadi hak masyarakat. Tetapi, hal peribadi tetap hak privasi dia. Tak adil sebab dia pun manusia, kan. Katakanlah, seorang artikek, apabila bangunan yang dibina itu runtuh, tak ada orang bertanya siapa isteri dia.

"Jadi, kenapa tak buat kami begitu juga? Jadi, kalau hasil kerja kami buruk, hentamlah. Tapi, kalau hal peribadi, biarlah kami punya. Kalau tidak, tak ada apalah yang kami punya.

"Dari penjelasan itu, biarlah saya simpan hal peribadi saya dan saya berterima kasih sangat kalau benda itu difahami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rusdi, keterbukaan dalam bercerita mengenai kehidupan peribadi dan rumah tangga akan lebih banyak membawa kemudaratan dan ia boleh dielakkan.

"Ini kerana saya percaya, kadang-kadang bila terlalu terbuka sampai cerita peribadi pun nak diberitahu, akhirnya dia bukan saja tak menguntungkan tapi memudaratkan banyak pihak.

"Kenapa kita nak buat benda macam itu sedangkan kita boleh elak?" katanya.

Bagaimanapun, Rusdi menghormati pilihan dan keputusan setiap individu yang selesa untuk menghebahkan mengenai kehidupan peribadi dan rumah tangga mereka.

"Itu hak masing-masing. Sesetengah orang tak kisah. Kadang-kadang mungkin mereka suka cerita mereka keluar setiap hari. Kalau tidak, tak ada cerita. Pada saya, lebih baik saya diam daripada saya bercerita yang tak ada.

"Hari ini, saya datang sebab drama ini. Kalau tidak, saya tak ada. Jadi, adalah sebab saya ada di khalayak sebegini, sebab kerja.

"Kalau acara yang saya tak terbabit, saya takkan pergi. Tak diundang kan. Berapa banyak festival filem yang saya tak dijemput dan saya tak ada di festival filem itu," katanya.

Terbaru, Rusdi membintangi drama bersiri Framed arahan Sein Qudsi yang turut menampilkan lakonan Meerqeen, Mimi Lana, Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:24 PM