Sebahagian 310 bungkusan yang mengandungi 3.1 tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran yang berjaya dirampas APMM Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
Sebahagian 310 bungkusan yang mengandungi 3.1 tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran yang berjaya dirampas APMM Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kegiatan penyeludupan daun ketum kini semakin berani apabila menggunakan bot nelayan tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa selepas taktik menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran gagal.

Taktik itu bagaimanapun berjaya dikesan pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah yang mengesan terdapat aktiviti pemunggahan bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum pagi semalam.

Komander APMM Zon Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya berjaya mengesan bot nelayan tempatan kelas A itu pada kedudukan 0.2 batu nautika di muara Kuala Sala, pada jam 6.45 pagi semalam.

Berikutan itu, sebuah bot PERKASA 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman digerakkan ke lokasi dan menemui sebuah bot nelayan tempatan Kelas A itu bersama empat suspek disyaki nelayan sedang memunggah bungkusan hitam terbabit di atas bot berkenaan.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek dipercayai warga tempatan itu bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemui 310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum yang cuba disorokkan di bahagian tempat simpanan ikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, kesemua bungkusan plastik hitam berisi 3.1 tan daun ketum itu dianggarkan bernilai RM558,000 dirampas untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas, bot nelayan terbabit yang dianggarkan bernilai RM60,000 dan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

Noor Azreyanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.

Beliau berkata, sekiranya didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

"Modus operandi aktiviti penyeludupan kali ini berbeza iaitu dengan menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar, berbanding sebelum ini yang menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bot terbabit juga disyaki sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar ke sempadan negara," katanya.

Sehubungan itu Noor Azreyanti berkata, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan awam mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 2:14 PM