Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkeyakinan gabungan itu akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sekiranya 80 hingga 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi pada 11 Mei ini.

Menurutnya, pengiraan itu berdasarkan kepada formula dan logik susulan jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu yang mencapai 47 peratus.

"Kalau dari segi logiknya, di sini ada 47 peratus pengundi Melayu, 30 peratus pengundi Cina, 18 peratus pengundi India dan lima peratus lain-lain termasuk orang asli.

"Congak kasar kalau pengundi Melayu keluar 80 sehingga 90 peratus, kita menang. Itu formula besar," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keyakinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao akan memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid boleh menyatakan apa yang dimahukan berkait keyakinan kemenangan itu.

"Dia yakin, saya pun yakin. Penentunya bukan saya ataupun dia. Kami berdua bukan pengundi di sini. Yang pentingnya orang yang berada di Kuala Kubu Baharu," katanya.

Menurutnya, PRK Kuala Kubu Baharu kali ini adalah peluang untuk pihaknya mendapat maklum balas atau referendum pendirian kerajaan yang ada pada hari ini sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.

Katanya, ini disebabkan Kerajaan Perpaduan kini dibebani dengan pelbagai isu melibatkan masalah ekonomi, kos sara hidup, kenaikan harga barang, kenaikan cukai dan isu tempatan.

"Termasuklah kenaikan harga barang tertentu. Mungkin tidak berapa lama lagi sebagaimana yang telah diumumkan oleh seorang Menteri dalam Kabinet kerajaan pada hari ini tentang rasionalisasi subsidi minyak nak diteruskan.

"Saya kira ini akan meningkatkan kos minyak, saya dengar 60 ke 80 sen seliter. Ini cukup membebankan. Saya telah menyuarakan di Parlimen. Jangan buat dahulu. Masanya belum sampai.

"Kerajaan hari ini patut sedar, rakyat terbeban. Banyak masalah kos sara hidup, ringgit yang menjunam jatuh menyebabkan bebanan mereka ditambah. Ditambah lagi dengan langkah mereka kononnya untuk mengurangkan subsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:32 PM
Presiden Perikatan (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, peminpin kanan, penyokong mengiringi calon PN, Khairul Azhari Saut pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Presiden Perikatan (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, peminpin kanan, penyokong mengiringi calon PN, Khairul Azhari Saut pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI