Harun berbincang dengan Michael Tay mengenai masalah yang dihadapinya. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Harun berbincang dengan Michael Tay mengenai masalah yang dihadapinya. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Ibrahim Isa dan Nurul Amanina Suhaini


HANYA RM3,000 untuk memenuhi keperluan harian dan persiapan keluarga menjelang Aidilfitri 2015, pemandu peribadi kini dibebani hutang RM30,000 membabitkan lima along.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 33, berkata, pada mulanya dia meminjam RM3,000 daripada seorang along selepas dicadangkan kawannya mengenai agensi pinjaman wang berlesen untuk menyelesaikan masalahnya.

Harun berkata, kejadian berlaku pada 2015 dan ketika itu dia memerlukan wang untuk memenuhi keperluan harian selain persiapan keluarga menjelang Aidilfitri.

“Sebelum itu, saya pernah memohon pinjaman daripada tiga bank tapi tidak diluluskan, disebabkan itu kawan mengesyorkan saya mencuba agensi pinjaman wang berlesen di Ulu Tiram.

“Pada awalnya, saya hanya ingin ‘survey’ tempatnya, namun syarat dan terma ditawarkan terlalu mudah, permohonan saya diluluskan selepas mengisi beberapa borang serta maklumat peribadi sebagai rujukan pihaknya.

“Bagaimanapun, agensi itu memegang kad bank dan mengatakan setiap kali gaji masuk, hutang akan ditolak.

“Saya diberitahu perjanjian bayaran semula selama setahun pada kadar faedah lima peratus sebulan iaitu RM600 sebulan,” katanya pada sidang media selepas membuat aduan ke Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di Taman Maju Jaya, Johor Bahru hari ini.

Menurutnya, disebabkan ada banyak tanggungan seperti perbelanjaan bulanan RM2,000 termasuk sewa rumah RM400 sebulan, kereta (RM450) dan menyara anak-anak berusia lima hingga 13 tahun dia tidak mampu membayar semula wang yang dipinjam.

Harun berkata, ketika keadaannya terdesak dan tertekan untuk membayar wang pinjaman along pertama, dia mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor asing ‘seolah-olah’ tahu dia memerlukan wang.

“Saya menelefon pemilik nombor untuk bertanyakan kesahihannya. Pihak itu menawarkan pinjaman dengan syarat saya perlu buka akaun baru.

“Jadi saya tutup akaun peminjam terdahulu dan membuat hutang baru, sejak itu saya tersangkut hingga lima along dalam tempoh empat tahun.

“Pada 2015, untuk along pertama saya hutang RM3,000 manakala along kedua (RM4,000). Pada 2016, saya berhutang RM3,000 dengan along ketiga dan RM2,500 along keempat, along kelima pula saya berhutang RM3,000.

“Saya diugut along menerusi panggilan telefon dan SMS (khidmat pesanan ringkas) jika lewat bayar hutang,” katanya.

Menurutnya, terbaru 17 April lalu, dia menerima ‘notis lawatan’ melalui SMS mengatakan mereka akan datang menyita perabot rumah jika dia tidak menjelaskan hutang.

Harun berkata, dia mengesyaki pelbagai nombor asing yang menghubunginya mendakwa daripada berlainan agensi tetapi mempunyai majikan atau ‘bos’ sama.

Selain itu katanya, walaupun mendakwa menawarkan pinjaman wang berlesen tetapi sistem yang dijalankan tidak mengikut polisi dan menyerupai along.

“Kali pertama, saya bayar RM600 sebulan namun kini hutang yang perlu saya bayar mencecah RM2,000 sebulan.

“Isteri saya terpaksa berniaga kecil-kecilan dengan menjual sarapan dan tengah hari sebelum dihantar ke kawasan perindustrian bagi melangsaikan hutang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima 50 kes berhubung isu along sejak awal tahun hingga minggu lalu berbanding 20 bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan jumlah kes membuktikan sindiket berkenaan bijak mengambil peluang kesempitan hidup dan memperdaya orang ramai.

Pada masa sama katanya, peminjam sering menerima ugutan menyebabkan mereka terdesak dan meminjam along lain untuk cuba menyelesaikan hutang along pertama.

“Sindiket menggunakan dunia digital dengan sepenuhnya untuk mengakses nombor telefon mangsa dan menawarkan janji palsu, penyelesaian sementara yang akhirnya membawa kepada kesempitan hidup.

“Sebelum ini, along hanya memasang kain rentang dan poster untuk mempromosikan perkhidmatan yang disediakan tetapi kini lebih mudah bagi mereka kerana hanya menggunakan media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 3:24 PM