SEORANG pekerja swasta, Wong Chiew Kwai, 41, (kiri) bersama Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan MCA Perak, Jimmy Loh (dua kiri) menunjukkan surat amaran daripada ceti haram selepas nama dan data peribadinya digunakan individu tidak bertanggungjawab sehingga dituduh meminjam wang daripada ceti haram atau along dua tahun lalu di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
SEORANG pekerja swasta, Wong Chiew Kwai, 41, (kiri) bersama Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan MCA Perak, Jimmy Loh (dua kiri) menunjukkan surat amaran daripada ceti haram selepas nama dan data peribadinya digunakan individu tidak bertanggungjawab sehingga dituduh meminjam wang daripada ceti haram atau along dua tahun lalu di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


PEKERJA swasta kini hidup dalam ketakutan diancam along atau ceti haram selepas nama dan data peribadinya dipercayai digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk membuat pinjaman along.

Wong Chiew Kwai, 41, berkata, gangguan ceti haram itu bermula sejak dia menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki yang mendakwa dirinya meminjam wang berjumlah RM1,000 pada 2 Mei 2016.

Katanya, dia yang tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana ceti haram bagaimanapun mengabaikan mesej itu sebelum menerima panggilan telefon daripada along lima hari kemudian.

"Mereka tidak berhenti mengganggu saya dan dua bulan selepas itu saya menerima satu lagi SMS yang meminta saya menjelaskan pinjaman sebanyak RM1,000 dan denda RM2,000.

"Malah along berani datang ke rumah dan meminta saya menjelaskan hutang berkenaan, namun beredar selepas gagal mengemukakan bukti pinjaman," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di Wisma MCA, Ipoh, hari ini.

Chiew Kwai berkata, along berkenaan kemudian datang semula ke rumahnya dan menunjukkan bukti transaksi menerusi akaun simpanannya berjumlah RM1,400 dan RM1,180 pada 23 Jun 2016.

Menurutnya, dia membuat semakan di bank dan mendapati bukti transaksi yang ditunjukkan ceti haram itu tidak wujud.

"Tetapi apabila saya membuat semakan semula, saya mendapati ada pihak memasukkan wang sebanyak RM13,000 pada Mei 2016 dan mengeluarkan semula wang berkenaan dua bulan kemudian.

"Wang berkenaan dimasukkan menerusi perbankan internet dan dikeluarkan semula menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM)," katanya.

Katanya, dia yang bimbang dirinya terancam, membuat tujuh laporan polis, namun masih diganggu kumpulan along terbabit.

Menurutnya, terbaru lelaki yang dipercayai along datang ke rumahnya pada 24 April lalu dan bertindak mengunci pintu pagar selain menampal sekeping kertas memintanya membayar hutang.

"Seingat saya, saya pernah menyerahkan nombor kad pengenalan dan buku bank di tempat saya bekerja, mungkin ada individu tidak bertanggungjawab menjual data peribadi itu kepada along bagi membuat pinjaman daripada along," katanya yang bimbang keselamatan diri dan keluarga serta meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:35 PM