NOTIS bersyarat pembelian dua gula kasar perlu membeli sebungkus gula premium di sebuah premis di sebuah premis di Hutan Kampung. FOTO ihsan KPDN
NOTIS bersyarat pembelian dua gula kasar perlu membeli sebungkus gula premium di sebuah premis di sebuah premis di Hutan Kampung. FOTO ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan sebuah premis di Hutan Kampung, di sini, yang menjual gula secara bersyarat mengundang padah apabila diambil tindakan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kedah, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di premis susulan aduan orang awam dengan melakukan penyamaran.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN Kedah menyamar sebagai pembeli di premis berkenaan untuk membeli gula pasir kasar yang berharga RM2.85 sebungkus pada jam 11 pagi.

"Hasil penyamaran mendapati premis terbabit mengenakan pembelian bersyarat yang mana setiap pembelian dua kilogram gula pasir kasar yang berharga RM2.85 sebungkus, pelanggan perlu membeli satu kilogram gula putih premium yang berharga RM4.60 sebungkus.

"Berikutan itu, peniaga terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata, pegawainya kemudian menyita gula pasir kasar satu kg itu sebanyak 10 kg dan gula pasir Super Premium (RM4.60 setiap satu) sebanyak 14 kg untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM64.40.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sekiranya sabit kesalahan mengikut akta ini boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Affendi berkata, KPDN Kedah memberi amaran kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedang dikuatkuasakan.

Katanya, semua peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian barang kawalan dan tidak menyorok barang kawalan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pada masa yang sama orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN melalui saluran seperti portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, E-mel [email protected], Aplikasi EZ ADU KPDN.

"Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 2:05 PM