LORI tangki yang disita kerana menyimpan minyak diesel yang disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Mergong. FOTO Ihsan KPDN
LORI tangki yang disita kerana menyimpan minyak diesel yang disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Mergong. FOTO Ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebuah premis di kawasan perindustrian Mergong, di sini, diserbu pihak berkuasa semalam, berikutan penemuan 41,000 liter minyak diesel dalam sebuah lori tangki serta dua tangki skid.

Serbuan dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Kuala Kedah, sebelum kes diserahkan kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, pada 11 pagi semalam untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan.

"Selain minyak diesel, lori tangki dan dua tangki skid, PPM turut menyita peralatan lain seperti pam minyak sebanyak tiga unit dan pam sebanyak enam unit yang disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi berkata, pemandu lori tangki berusia 60-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM88,150, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM126,150.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 8:21 AM